21 April 2013

4 sekeluarga hilang tempat tinggal rumah terbakar

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU - Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran di Taman Jaya, Jalan Pusara di sini kira-kira 3.45 petang tadi.
   
Mangsa Nik Zainab Nik Aziz, 32, berkata kebakaran dipercayai berpunca dari dapur rumahnya selepas dia terlupa menutup api dapur selepas memasak air.
   
Katanya sebelum kejadian itu dia dihubungi majikannya yang memintanya pergi ke pejabat menyebabkan dia bergegas keluar dari rumahnya menuju ke pejabat yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
   
"Ketika sedang berbincang dengan majikan, saya dimaklumkan berlaku kebakaran di rumah saya, panik dengan berita itu saya terus bergegas pulang ke rumah setelah teringat saya terlupa menutup api ketika menjerang air," katanya.
   
Menurutnya ketika kejadian suaminya keluar bekerja manakala dua anaknya berusia dua dan enam tahun ditinggalkan di rumah jiran.
   
Sementara itu Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat negeri, Abdullah Zawawi Mohamed menjelaskan pihaknya menerima panggilan pada 4.07 minit petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.  

- Bernama

Tiada ulasan: