10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM – PKR mengalu-alukan bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon Bebas berganding dengan Pakatan Rakyat (PR) selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) demi menaikkan martabat kaum wanita.
Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan jika Kamilia mahu menyertai Wanita PR.
“Jadi, saya nak menawarkan supaya Datuk Kamilia bukan saja bertanding sebagai calon Bebas tetapi selepas ini mengambil satu inisiatif untuk bersama-sama Pakatan Rakyat.
“Insya-ALLAH, saya yakin kalau beliau menang... tak menang pun kita rasa sudah sampai masanya dia bersama-sama dengan wanita PR merangka masa depan wanita. Itu cadangan saya,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Umno mengumumkan Kamilia dipecat automatik kerana bertanding sebagai calon Bebas. Bagaimanapun menerusi Facebook semalam, Kamilia berkata beliau telah melepas semua jawatan dalam Umno.
Dalam pada itu, Rodziah mengakui Kamilia layak untuk berjuang bersama-sama dalam PR.
“Saya rasa, beliau layak berada bersama-sama dengan kita. Bagi kita, bukan kita pilih orang, kita pilih individu yang mempunyai prinsip perjuangan yang sama.
“Beliau dah rasa dah sekarang ini... penghinaan. Beliau nampak bahawa Umno tidak lagi memenuhi prinsip perjuangannya,” katanya yang bertanding mempertahankan kerusi Dun Batu Tiga.
Tambahnya, “jika, beliau (Kamilia) nampak PR adalah salah satu parti yang memenuhi prinsip beliau, Insya-ALLAH, beliau dialu-alukan untuk bersama-sama dengan kita.”
Rodziah turut menyifatkan tindakan Kamilia yang meninggalkan Umno sebagai satu kerugian besar buat parti itu.
"Saya puji tindakan beliau yang memilih untuk bertanding atas tiket Bebas di Kuala Kangsar. Dan saya telah ucapkan tahniah secara terbuka melalui laman sosial.
"Kalau wanita sebaik Datuk Kamilia diketepikan, pastinya ia satu kerugian yang besar untuk Wanita Umno," katanya.
Semalam, Rodziah cuba menghubungi Kamilia namun panggilan tidak berjawab.
“Kalau diberikan peluang bertemu dengan dia, insya-ALLAH. Sebab sekarang ini masing-masing sedang sibuk berkempen.
“Semalam saya cuba menghubungi beliau namun panggilan tidak berjawab. Mungkin dia sibuk,” katanya.
Rodziah bertembung dengan Datuk Nawawi M. Zin, yang mewakili BN, dan calon Bebas, Uzi Che Hussin di Batu Tiga.
Sementara Kamilia menentang calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Drs Khalil Idham Lim dari Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Sinar/-
1 ulasan:
Jgn janji offer je...pastikan dulu kot susah nanti
Catat Ulasan