21 April 2013

Proses penamaan calon lancar

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Proses penamaan calon lancar

Calon-calon yang bertanding pada PRU13 mengangkat selepas Abdul Manan (tiga kiri) mengesahkan menerima borang pencalonan masing-masing, semalam.
JELI - Proses penamaan calon kerusi Parlimen Jeli menyaksikan satu lawan satu di antara calon Barisan  Nasional (BN), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan calon Pas, Apandi Mohamad, semalam.

Afandi kelihatan lebih awal memasuki pusat penamaan calon kira-kira jam 9.15 minit pagi manakala Mustapa menyusul sembilan minit kemudian untuk masing-masing menyerahkan borang pencalonan.

Mustapa akan mempertahankan kerusi yang disandang beliau untuk penggal empat yang juga kubu kuat BN di Kelantan, malah beliau juga akan bertanding di kerusi Dun Air Lanas menentang calon Pas Abdullah Ya’kub.

Bagi kerusi Dun Bukit Bunga pula mempamerkan dua muka lama membabitkan calon BN, Mohd Adhan Kechik ditentang oleh Sufely Abdul Razak dari Pas. Pada PRU12 lalu Mohd Adhan menang dengan majoriti 348 undi menewaskan Sufely.

Bagi kerusi Kuala Balah,  penyandang dari BN, Abdul Aziz Derashid akan menentang satu lawan satu dengan muka baru calon dari Parti keadilan Rakyat (PKR), Ramlan Mat.

Proses penamaan calon berjalan lancar dan Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Jeli, Abdul Manan Ali mengisytiharkan penutupan penamaan calon  bagi kedua-dua calon bertanding selepas tempoh bantahan tamat tepat jam 10 pagi.

Beliau mengumumkan tarikh undi awal akan dijalankan pada 30 April ini, manakala hari undian biasa akan dijalankan serentak di seluruh negara pada 5 Mei 2013.

Calon Pas tiba di pusat penamaan calon lebih awal bersama lima ribu penyokong, berbanding rombongan BN diiringi kira-kira dua ribu penyokong.

Kedua-dua penyokong parti menunjukkan sikap yang sopan dan beradab, sambil mengibarkan bendera parti masing-masing sebagai tanda sokongan kepada calon yang bertanding.

Sebagai langkah keselamatan pihak polis memasang kawat berduri dan tiada sebarang kekecohan berlaku sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Sinar/-

Tiada ulasan: