10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
BANDAR PEKAN - Proses penamaan yang bermula jam 9 pagi semalam menyaksikan persaingan satu lawan satu bagi merebut kerusi Parlimen Pekan setelah calon mahasiswa dari Gerakan Mahasiswa (GM13) yang diuar-uarkan bertanding menarik diri.
Kejutan bagi kerusi Dun Peramu apabila menerima pencalonan Pengerusi Persatuan Anak Kelahiran Pahang, Syed Mohammad Faiz Syed Azemmant bertanding atas tiket Bebas, sekali gus menjadikan persaingan tiga penjuru di kerusi itu.
Tiga lagi Dun iaitu Pulau Manis, Bebar dan Chini masing-masing mengekalkan dua pesaing yang telah pun mengesahkan tiket untuk merebut kerusi, 5 Mei depan.
Kira-kira 1,500 penyokong Barisan Nasional (BN) dan 500 penyokong Pakatan Rakyat (PR) hadir pada hari penamaan calon semalam untuk memberi sokongan kepada calon masing-masing.
Perdana Menteri yang juga penyandang Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan borang penamaan kira-kira jam 9.04 pagi, diikuti pesaingnya, Ketua Koordinator Jingga 13 yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa pada jam 9.25 pagi.
Penyandang Adun Chini, Abu Bakar Harun yang tiba menyerahkan borang penamaan pada jam 9.08 pagi berkata, kepercayaan kali ketiga yang diberikan kepadanya untuk kembali menduduki kerusi Dun Chini menyuntik semangatnya berbakti kepada masyarakat.
“Saya bersyukur dengan pencalonan ini dan berharap masyarakat dapat menilai kepimpinan semua individu yang dicalonkan agar nasib mereka terbela," katanya.
Beliau dicabar hebat Ketua Wanita PKR Cabang Pekan, Sitarunisah Ab Kadir yang memberitahu gerak kerja bagi menawan hati pengundi di bawah Dun Chini sudah dilakukan sejak sekian lama.
Sementara itu, calon baru BN bagi kerusi Dun Bebar, Mohammad Fakharuddin Mohd Ariff mengakui beliau sedang giat berusaha mempersiapkan jentera bagi kempen pilihan raya.
“Saya akan cuba yang terbaik untuk menjadi calon ideal,” katanya yang menerima tentangan daripada calon PKR yang juga bekas Adun Chini selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRU10, Jafri Rashid.
Yang Dipertua Pas kawasan Pekan, Abu Kassim Manaf sekali lagi diberi kepercayaan calon kerusi Dun Peramu Jaya, menyerahkan borang penamaan pada jam 9.31 pagi, sekali gus mengesahkan sebagai pencabar calon baru BN, Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali dan calon Bebas, Syed Mohammad Faiz.
Abu Kassim berkata, walaupun dicabar muka baru, beliau tidak gentar untuk menghadapi lawan dan akan berusaha sebaik mungkin.
Manakala bagi penyandang Adun Pulau Manis, Khairudin Mahmud, kepercayaan yang diberikan sekali lagi kepadanya akan digunakan sebagai jambatan untuk meneruskan kerja berkaitan pembangunan serta bantuan kepada masyarakat.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan