10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA PILAH – Dun Seri Menanti menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila calon Bebas, Md Ali Mustafa memberi saingan kepada dua calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Samad Ibrahim dan calon PKR, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
Md Ali, 45, ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana semua perancangan berjalan lancar sehingga berjaya menjadi calon Bebas bagi Dun tersebut.
Katanya, apa yang mendorongnya untuk bertanding di Dun Seri Menanti sebagai calon Bebas kerana mendapat petunjuk dari ALLAH SWT.
“Apa jua yang saya lakukan ini, adalah kerana ALLAH. Saya mengambil borang pada Khamis lalu dan nekad untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.
“Bukan kerana tidak puas hati atas pimpinan wakil rakyat terdahulu, tetapi saya hendak berjuang demi masyarakat Seri Menanti,” katanya.
Md Ali yang juga usahawan pertanian berkata, wakil rakyat sebenarnya bukan pemimpin, sebaliknya adalah penghubung antara rakyat dengan agensi kerajaan mahupun pimpinan teratas.
“Saya mahu dekati rakyat dan mendengar denyut nadi rakyat agar apa jua masalah mereka dapat saya panjangkan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan, Md Ali merupakan bekas Ketua Penerangan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Ibol.
Sementara itu, Pengerusi PDM Kampung Ibol, Kamarulzaman Osman memberitahu, sedikit terkilan dengan tindakan Md Ali kerana tidak maklum lebih awal bahawa dia akan bertanding Bebas pada pilihan raya kali ini.
“Saya tidak kisah jika dia hendak bertanding tetapi perlulah maklum kepada saya supaya tugas yang dipikul sebagai Ketua Penerangan PDM digantikan dengan orang lain.
“Atas tindakan itu, malam semalam (kelmarin) jentera gerak kerja PDM telah mengadakan mesyuarat tergempar untuk melantik ketua penerangan yang baru dan kini jawatan itu sudah diisi semula,” katanya ditemui di Pejabat Daerah Kuala Pilah.
Difahamkan, Md Ali belum menerima sebarang hitam putih pemecatan ahli dari Umno Bahagian Kuala Pilah selepas menjadi calon Bebas bagi Dun Seri Menanti.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan