21 April 2013

Nyaris menang tanpa bertanding

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Nyaris menang tanpa bertanding

Taha (duduk) ketika mengemukakan rayuan sewaktu proses pencalonannya semalam sambil dikelilingi calon-calon BN.
TANGGA BATU - Barisan Nasional (BN) di Dun Paya Rumput yang diwakili Sazali Md Din, nyaris menang tanpa bertanding apabila calon dari PKR Taha Ahmad, gagal melengkapkan dokumen ketika menyerahkan borang penamaan.

Calon terbabit yang menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.30 pagi di Pusat Penamaan Calon, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Gelam, tanpa disertakan surat watikah pelantikan.

Sehingga jam 10 pagi, akhirnya Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tangga Batu, Datuk Roslan Ibrahim terpaksa mengumumkan tempoh tamat proses pencalonan.

Taha yang menyerahkan dokumen tambahan itu beberapa minit lewat mengemukakan rayuan pertimbangan sehingga memaksa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertugas merujuk perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang SPR.

Bagaimanapun, setelah menunggu kira-kira sejam akhirnya SPR bersetuju menerima borang pencalonan Taha atas alasan beliau telah membuat pendaftaran dan menyerahkan borang pada jam 9.30 pagi terlebih dahulu.

Keadaan itu juga membangkitkan suasana cemas di kem Pakatan Rakyat (PR) Melaka kerana hampir gagal bertanding di Dun Paya Rumput yang menjadi salah satu kawasan sasaran pembangkang.

Sementara itu, beberapa calon BN yang diketuai calon Dun Sungai Udang, Datuk Idris Haron melahirkan rasa tidak puas hati dengan masa yang dicatatkan SPR terhadap calon PKR, Taha Ahmad.

“Kami melakukan bantahan secara berhemah, kerana berpendapat perlu direkodkan masa sebenar, sempurnanya borang itu dari tempoh yang diumumkan, sebenarnya telah menjangkau masa,” katanya.

Roslan mempertahankan keputusan kerana mendapat persetujuan penasihat undang-undang, di ibu pejabat SPR pusat.

Sinar/-

Tiada ulasan: