21 April 2013

Pencalonan previu kehangatan PRU13

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pencalonan previu kehangatan PRU13

Ribuan penyokong Pas mengiringi calon mereka ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Marang semalam. Pengundian PRU15 akan berlangsung 5 Mei. - Foto Bernama
BERDASARKAN penamaan calon hari ini, Pilihan Raya Umum ke-13 bukan sahaja sengit tetapi sangat menarik kerana banyak kerusi menyaksikan pertandingan banyak penjuru dan tidak sebuah pun dimenangi tanpa pertandingan.
Ada kerusi yang menyaksikan pertandingan tujuh hala.
Perangkaan mutakhir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sejumlah 579 calon akan bertanding merebut 222 kerusi Parlimen, termasuk 79 calon bebas dan 1,320 berebut 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 buah negeri, kecuali Sarawak.

Inilah kali pertama sejak PRU 1959 tidak ada kerusi dimenangi tanpa pertandingan. Dalam PRU 2008, BN menang lapan kerusi Parlimen dan tiga DUN tanpa pertandingan manakala PAS menang sebuah kerusi DUN pada hari penamaan calon.

Dalam pilihan raya Parlimen, BN meletakkan 221 orang calon, PKR (99), Pas (73), DAP (51), Bebas (79), State Reform Party (STAR) (28), Berjasa (9), Sabah Progressive Party (Sapp) (8), Sarawak Workers Party (SWP) (6), Kita (2), Parti Cinta Malaysia (PCM) (2), dan Bersama (1). Penama BN bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa, “gagal” mengemukakan kertas pencalonan.

Bagi pilihan raya Dun, BN meletakkan 505 calon, Pas (236), PKR (172), DAP (102), Bebas (190), STAR (49), SAPP (41), Berjasa (5), Kita (11), Bersama (4), PCM (3), dan Socialist Party of Malaysia (PSM) (2).

Ketidakpuasan Punca Banyak Calon Bebas

Sedikit sebanyak, bilangan calon yang lebih ramai itu membayangkan wujudnya ketidaksepaduan di kalangan parti-parti yang bertanding dan di dalam parti akibat pilihan calon.

Tetapi hal ini tidaklah memeranjatkan sangat kerana boleh dikatakan semua parti cuba membuat pembaharuan dengan meletakkan banyak orang baru.

alam proses itu, tentulah ada penyandang dan orang yang bercita-cita menjadi calon tetapi tidak terpilih akan berasa hampa dan bertindak melawan parti.

Hal ini juga berlaku akibat limpahan politik parti ke dalam pilihan raya seperti pengguguran Ahli Parlimen popular Pandan, Ong Tee Keat yang berupa musuh ketat Presiden MCA Dr Chua Sooi Lek.

Bergantung kepada siapa calon bebas itu, kesan kepada calon-calon parti mungkin negatif. Kalau calon bebas itu bekas ahli parti-parti yang bertanding, kesannya kepada calon rasmi mereka mungkin lebih buruk.

Dalam konteks Pakatan Rakyat, kegagalan mencapai kata sepakat di kalangan parti anggota menyaksikan calon mereka berlawan antara satu sama lain di kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Selangor; Sungai Acheh, Pulau Pinang; Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir, Terengganu; Panti, Johor dan Labuan yang tentunya memberi “advantage” kepada calon Barisan Nasional.

Di mana calon Bebas adalah dari BN, khasnya calon yang kuat dan ternama, “advantage” akan berada di pihak PR. Calon-calon bebas sukar untuk menang. Dalam PRU 2008, hanya dua orang menang kerusi Dun daripada 66 yang bertanding dan tidak seorang pun daripada 36 yang bertanding Parlimen, menang. Majoriti hilang deposit.

Pemberontakan Dalam Parti

BN pula mengalami pemberontakan di beberapa buah kerusi di mana ahlinya bertanding sebagai calon bebas seperti Parlimen Kuala Kangsar, Perak; Tasik Gelugor, Pulau Pinang dan Pandan, Selangor.

Cabaran dalaman yang paling mengaibkan bagi BN adalah keputusan Timbalan Ketua Wanita Umno, Kamilia Ibrahim, keluar parti dan bertanding sebagai calon bebas.

Tidak sukar memahami tindakan Kamilia menolak tawaran bertanding kerusi Dun Bukit Chandan dan bertanding sebagai calon Bebas Parlimen. Beliau adalah antara pemimpin atasan Wanita Umno yang berotak, berprinsip dan tidak pandai mengampu.

Ketidakpandaian atau ketidakrelaan beliau mengampu dianggap kesombongan oleh pengkritik beliau. Tetapi yang sebenarnya menjadi masalah adalah pemikiran beliau yang lebih superior daripada banyak pemimpin tertinggi BN. Ada pemimpin atasan BN berasa terancam dengan kemunculan wanita cerdik dan berani dalam parti.

Turut memberontak adalah bekas Timbalan Menteri Pertanian, Mohd Shariff Omar di Tasik Gelugor. Beliau kini bertanding bebas melawan calon BN dan Pas. Calon Pas, Abdul Rahman Maidin adalah juga bekas ahli Umno.

Kalau calon berontak BN di Tasik Gelugor, Kuala Kangsar dan Pandan berjaya memperoleh undi yang cukup besar, harapan BN mengekalkan tiga kerusi itu akan terjejas kerana kemenangan BN pada PRU 2008 tidaklah terlalu besar.

Bagi DAP, antara pemberontaknya adalah Jenice Lee, penyandang Dun Teratai, Selangor dan Sim Tong Him penyandang Kota Melaka. Lee bertanding bebas di Teratai manakala Sim mempertahankan Kota Melaka dan bertanding juga di kerusi Dun Kota Laksamana.

DAP dilihat sebagai bertindak tegas terhadap penyandang yang dianggap tidak berprestasi, bermasalah dan tidak sekata dengan kepemimpinan atasan parti.

Tindakan Taktikal Pasir Mas?

Perkembangan di Pasir Mas sangat luar biasa apabila penama BN, Che Johan Che Pa, “gagal” mengemukakan kertas pencalonan dengan itu memberi laluan kepada penyandang, Ibrahim Ali yang bertanding sebagai calon bebas, berlawan satu dengan satu menentang Pas.

Ini boleh dilihat sebagai tindakan taktikal yang sangat luar biasa dan mengukuhkan dakwaan bahawa Perkasa yang didukung oleh Ibrahim adalah gerakan bayangan Umno.
Dalam PRU 2008, Ibrahim bertanding dan menang atas tiket Pas dengan majoriti yang besar. Beliau menjadi renggang dengan PAasakibat sokongan Pas kepada penggunaan kalimah ALLAH oleh orang Kristian di Semenanjung Malaysia dan isu-isu lain berkaitan Melayu.

Ibrahim mendapat kuasa baru apabila beliau menubuhkan Perkasa bagi memperjuangkan hak Melayu dan Islam ketika Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak mempopularkan 1Malaysia, meritokrasi, transformasi dan keterangkuman.

Dengan menjadikan bekas Perdana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad sebagai “mentor” Perkasa, Ibrahim mendekatkan gerakan itu dengan Umno. Tidak memeranjatkan sekiranya “Faktor Mahathir” menjadi talian hayat kepada Ibrahim ketika pencalonan siang tadi.

Dalam banyak hal, keupayaan Ibrahim memanjangkan hayat politiknya dan kekal relevan boleh dikatakan setaraf dengan Anwar Ibrahim yang kebetulan kontemporari beliau dalam revolusi kampus pada akhir 1960-an dan awal 1970-an. Anwar berpangkalan di Universiti Malaya manakala Ibrahim di UiTM. Ibrahim akan dicabar oleh calon Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Dengan Ibrahim muncul sebagai calon “proksi” BN, Perkasa mempunyai dua orang wakil dalam senarai BN. Seorang lagi ialah bekas Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Nordin yang bertanding melawan calon Pas di kerusi Parlimen Shah Alam.

Apa pun, kita bersyukur dan gembira kerana proses penamaan calon berjalan lancar dan tanpa kejadian yang merugikan. Kita harap keadaan seperti itu kekal sehingga dan selepas pengundian pada 5 Mei. Pengekalan keamanan dan keselamatan adalah penanda aras kematangan kita berpolitik. Insya-ALLAH.

* Dipetik dari blog Datuk A Kadir Jasin

Tiada ulasan: