18 Julai 2013

Dakwat kekal: Rafizi akan ulangi dakwaan di luar Dewan

9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - 


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli (gambar) akan membuat kenyataan di luar parlimen berkaitan kontrak dakwat kekal setelah membuat dakwaan itu di dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Rafizi memberikan jaminan ini selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul untuk menyeret beliau di bawah Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.

Selepas menolak usul itu, Pandikar mencadangkan agar Rafizi membuatnya di luar Parlimen di mana dia tidak dilindungi oleh sebarang imuniti.


Rafizi bangun dan berkata dia akan melakukannya di samping akan memfailkan satu usul untuk membincangkannya sebagaimana dicadangkan Speaker.

Sebelum ini, Rafizi membuat dakwaan di Dewan Rakyat bahawa pembekal dakwat kekal kepada SPR mempunyai kaitan dengan pemimpin kanan badan itu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz menafikan dakwaan itu dan mempertikaikan dakwaat Rafizi. Beliau juga meminta persoalan itu ditanyakan kepada Setiausaha SPR, Datuk Kamarudin Baria, kerana ia diuruskan oleh beliau dan urusetianya.

Kamarudin pula dalam kenyataannya turut mempertikaikan kenyataan Rafizi itu dan memperlekehkan Rafizi kerana hanya berani membuat tuduhan dalam Dewan Rakyat yang dilindungi imuniti.

Kamaruddin turut menafikan beliau mengenali pembekal dakwat kekal, Mohamed Salleh Md Ali yang dikatakan rapat dengan kepimpinan tertinggi badan pengendali pilihan raya itu seperti didakwa Rafizi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: