18 Julai 2013

Janji lisan PM tidak bernilai Kepada Rakyat Sarawak

9 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Pengumuman atau janji-janji lisan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi projek-projek di Sarawak menjelang PRU13 yang lalu kini menjadi “boomerang” kepadanya.
Pada sidang akhbar baru-baru ini, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Micheal Manyin berkata kerajaan negeri tidak dapat melaksanakan banyak projek yang diumumkan oleh Najib kerana mereka tidak diikuti dengan komitmen "bertulis". "Sebab itu apabila kerajaan persekutuan meluluskan apa-apa projek-projek infrastruktur di negeri ini kita berharap bahawa ada hitam putih akan menyusul dengan segera," katanya.

Kenyataan Micheal Manyin membuktikan yang selama ini banyak projek infrastruktur yang dijanjikan secara lisan oleh Perdana Menteri (PM) di Sarawak semasa PRU13 lalu tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh kerana tiada dokumen yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan.

Ini membuktikan yang janji lisan PM selama ini semasa pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai sah tapi boleh dianggap sebagai janji lisan yang tidak bernilai semata-mata untuk meraih sokongan semasa berkempen dalam pilihanraya.

Antara contohnya yang dinayatakan oleh beliau ialah Jalan Kapit-Song adalah salah satu daripada projek yang diluluskan secara lisan, tetapi ia belum dilaksanakan kerana tidak ada dokumen yang mengesahkan kelulusan. “Walaupun Perdana Menteri mahu kita memulakan kerja secepat mungkin, kita tidak boleh memanggil tender untuk projek tersebut kerana ia telah diumumkan secara lisan”. katanya dalam suatu kenyataan.

Kita bersetuju dengan kenyataan Micheal Manyin dalam masalah ini, sepatutnya setiap pengumuman atau janji lisan yang tidak bertulis oleh PM boleh dianggap sebagai janji yang tidak bernilai.

Perkara ini sudah lama berlaku terutama semasa kempen pilihanraya tetapi setelah isu ini dibangkitkan oleh ahli parlimen Sarawak barulah mereka sedar yang selama ini janji-janji lisan PM untuk rakyat banyak yang tidak dapat dilaksanakan di Sarawak disebabkan tiada hitam putih dari kerajaan persekutuan.

Inilah suatu pengajaran kepada rakyat Sarawak dan lain-lain tempat agar jangan mudah termakan dengan janji-janji lisan PM atau menteri-menteri lain yang suka berjanji dengan sesuatu projek dalam pilihanraya tanpa ada pengesahan dan kelulusan dari parlimen atau DUN. Akibat janji tiada bertulis maka dengan mudah untuk PM atau menteri-menteri BN melepas tangan sekiranya janji atau projek tersebut tidak dapat dilaksanakan.

Kita mengesa agar pihak yang berwajib mempastikan setiap janji-janji PM atau menteri perlu di dokumentasi secara hitam putih sebelum diumumkan kepada rakyat bukan hanya berjanji lisan yang akhirnya setiap projek rakyat yang dijanjikan akan tinggal janji. Kalau hendak berjanji pun mestilah ditepati setelah diberi mandat untuk berkuasa semula bukan hanya berjanji sesuka hati selepas itu janji tinggal janji yang akhirnya rakyat yang akan menanggung penderitaan akibat janji tidak ditepati.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, jangan mengabaikan harapan rakyat dengan janji kosong tetapi perlu ditunaikan segera seperti mana telah dijanjikan sebab kerajaan yang memerintah mempunyai peruntukan untuk menunaikan janji mereka sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu menolong rakyat.

Harap perkara ini tidak berulang lagi terutama musim pilihanraya dimana PM dengan mudah berjanji lisan meluluskan sesuatu projek tanpa mendapat kelulusan dari parlimen dan akhirnya rakyat juga yang terpedaya dengan janji lisan yang tidak bernilai itu.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak



Tiada ulasan: