9 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Ribuan
penyokong Mohamed Mursi, presiden Mesir yang digulingkan,
berdemonstrasi di luar pejabat perdana menteri dan berarak di Kaherah
pada Rabu bagi menyatakan bantahan terhadap kabinet baru yang disokong
tentera, pada hari pertama mereka memulakan tugas.
Mereka melaungkan “Allahu Akbar”, “Jahanam pemerintahan tentera” dan “Kami semua Mursi”.
Krisis di Mesir, yang merentasi Terusan Suez dan mempunyai perjanjian dengan Israel, turut membimbangkan sekutunya di Barat, lapor Reuters.
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah Catherine Ashton menjadi tokoh antarabangsa terbaru melawat pemerintah sementara Mesir.
Tidak seperti Amerika Syarikat (AS), wakil yang datang dua hari lalu itu turut dijangka bertemu pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin.
Tentera yang menggulingkan presiden pertama Mesir yang dipilih oleh rakyat dua minggu lalu menuduh penyokong tokoh Ikhwan itu menghasut diadakan tunjuk perasaan bersenjata di luar kem tentera.
Bagaimanapun, tunjuk perasaan itu kebanyakannya aman walaupun terdapat pergelutan apabila orang ramai yang berarak merentasi bandar Kaherah dan sepanjang tebing sungai Nil ditahan polis kerana cuba mendekati Dataran Tahrir – tumpuan perhimpunan anti-Mursi.
“Kami hanya ada dua tujuan, hak kekuasaan atau mati syahid,” Ahmed Ouda, 27, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita antarabangsa itu.
Sementara seorang lelaki menyampuk: “Syahid secara aman”.
Seramai 33 anggota kabinet sementara, kebanyakannya teknokrat dan liberal, pada Selasa mengangkat sumpah jawatan masing-masing.
Tiada seorang pun dipilih daripada dua kumpulan Islamis utama yang memenangi lima pilihan raya berturut-turut sejak 2011, kebangkitan selepas penggulingan autokrat Hosni Mubarak.
Selepas majlis angkat sumpah itu pada hari Selasa, pertempuran jalanan semalaman antara penyokong Mursi dan pasukan keselamatan, menyaksikan tujuh terkorban dan lebih 260 cedera, menjadikannya keganasan paling teruk dalam minggu ini.
Mursi ditahan di lokasi yang tidak didedahkan dan belum didakwa atas sebarang kesalahan walaupun pihak berkuasa mengumumkan siasatan ekoran aduan merisik, menghasut keganasan dan merosakkan ekonomi.
Pasukan pendakwa juga membuka semula kes lari daripada tahanan sementara pada 2011, sewaktu tunjuk perasaan menentang Mubarak.
Malaysiakini/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan