Ustaz Ahmad Baei Jaafar
Sepanjang saya mengendalikan urusan perkahwinan umat Islam, terdapat pelbagai kes yang membabitkan anak tak sah taraf. Tidak kurang juga yang datang memohon perkahwinan dalam keadaan mereka sedang mengandung anak luar nikah. Sedih memang sedih tetapi sebagai Penolong Pendaftar Nikah, saya tidak menghukum sebaliknya akan memudahkan urusan perkahwinan setakat yang dibenarkan syarak dan undang-undang agama Islam negeri. Yang penting mereka boleh berkahwin secara sah.
Kes pertama, bila dihubungi bapa saudara pengantin itu saya agak terkejut. Yalah, bagaimana boleh jadi anak tak sah taraf sedangkan mengikut penelitian surat nikah ibu bapa menunjukkan anak itu sah taraf. Subhanallah, rupanya ibu bapa itu setelah melakukan dosa berzina dan berkahwin selepas pasangannya disahkan mengandung. Apabila anak itu lahir, pendaftaran tarikh lahir anak itu dilewatkan sebulan.
Kenapa mereka sanggup menipu anak sendiri, menipu kerajaan dan menipu orang ramai. Kenapa ibu bapa sanggup meminda tarikh kelahiran anak untuk menutup kesalahan mereka sedangkan kesannya ialah anak apabila hendak berkahwin. Kenapa mereka sanggup menyembunyikan status anaknya yang tidak sah sedangkan yang bersalah ialah mereka bukan anak itu?
Alasan mereka supaya anak itu tidak malu, tetapi sebenarnya mereka buat semua itu kerana mahu menutup keaiban mereka sendiri. Apakah ibu bapa ini tidak sedar bahawa dengan perbuatan itu akan memberi kesan kepada pernikahan anaknya iaitu nikah tidak sah.
Ya, seperti dalam kes di atas, ibu bapa anak itu melewatkan tarikh lahir dari yang sebenar. Dengan cara itu, kelihatan anak itu adalah sah taraf. Maka kalau tiada siapa yang mendedahkannya nescara anak itu berkahwin secara tidak sah. Mujurlah, bapa saudara anak itu menyedarinya sebelum pasangan itu bersama.
Cuma dalam kes ini, saya rasa terkilan kerana bapa saudaranya tidak memberi teguran awal sebelum pasangan itu berkahwin. Bukankah dengan makluman awal, isu yang memalukan ini dapat dielakkan sebelum berkahwin. Anak yang terpinga-pinga dengan keadaan itu akhirnya terpaksa dinikahkan semula dengan menggunakan wali hakim.
Tetapi dalam kes kedua, ibu bapanya meminda tarikh pernikahan mereka agar munasabah dengan tarikh kelahiran anaknya. Dalam kes ini, ibu bapanya berkahwin baru sebulan, tetapi sudah mendapat menimang anak sulung, luar biasa. Supaya tidak mengaibkan status anak kononnya, mereka meminda tarikh perkahwinan mereka dengan memadam bulannya. Mereka memang cerdik menipu Allah dan menipu anak sendiri.
Sebenarnya sebelum membuat permohonan perkahwinan anaknya, seorang lelaki (bapa gadis yang memohon kahwin) datang ke pejabat saya untuk bertanyakan tentang kedudukan anak tak sah taraf, dan dia mengaku terlibat. Saya telah memberi jaminan untuk membantunya bagi mendapatkan wali hakim. Tetapi sewaktu dia membawa anaknya untuk menandatangi borang permohonan nikah itu, dia tidak mengulangi isu yang pernah dibincangkan dengan saya suatu ketika dahulu.
Sememang saya sudah lupa akan wajah (lelaki) yang datang bersama anak perempuan itu adalah lelaki yang sama pernah berjumpa saya bertanyakan soal anak tak sah taraf. Orang sebab tidak mengesyaki sesuatu yang tidak kena, saya menyokong borang itu seperti biasa. Dengan sokongan saya pejabat agama meluluskan permohonan itu.
Walaupun semua berjalan baik, lelaki ini mula rasa bersalah lalu berpatah balik ke pejabat agama lalu membuat pengakuan sebenar di hadapan tuan kadi. Alhamdulillah, berkat Ramadan dan tarikh perkahwinannya pun masih lambat, maka borang permohonan itu bolehlah dipinda untuk mendapatkan wali hakim.
Sungguhpun begitu, saya masih terkilan kerana dia masih mahu menyembunyikan status anaknya sebagai tidak sah taraf. Sampai bila keadaan ini mahu dirahsiakan? Sesungguhnya tidak menyesal kalau diberitahu awal keadaan sebenar daripada membiarkan keadaan itu. Bagaimana kalau dia mendapat tahu keadaan sebenar selepas berkahwin daripada orang lain?
Wahai ibu dan bapa juga yang bakal menjadi ibu dan bapa, ambillah iktibar daripada dua kes ini.
Jangan ulangi demi maruah Islam dan diri umat Islam. Memang dalam hukum Islam, anak yang dilahirkan selepas enam bulan satu lahzah ibu bapanya berkahwin, dianggap sah taraf. Tetapi kalau ada pihak yang mendakwa bahawa isterinya sudah mengandung, maka anak itu tetap dihukumkan tak sah taraf.
Begitulah juga kalau berlaku perkahwinan secara tidak sah, sedangkan pasangan itu tidak menyedarinya, pergaulan mereka dikira wati syubahah dan anak yang dilahir dalam tempoh itu dikira anak wati syubahah. Anak yang dilahirkan itu boleh dibin/bintikan kepada bapanya. Hakikatnya anak itu adalah sah taraf. Tetapi kalau pasangan itu menyedari bahawa perkahwinan itu tidak sah, kedudukan mereka sebagai suami isteri perlu dipisahkan serta merta.
Berdasarkan isu di atas, berterus teranglah wahai ibu dan bapa kepada anak-anak demi masa depan mereka. Pada masa yang sama, wahai ibu bapa kalau anda sedar bahawa anak anda sudah mengandung anak luar nikah, laporkan kepada pejabat agama atau sekurang-kurangnya kepada Penolong Pendaftar Nikah semasa memohon pernikahan mereka. Tindakan ini penting demi masa depan mereka di dunia dan akhirat.
Selain itu sebagai Penolong Pendaftar Nikah kami perlu serius mengesan status ibu bapa dan anak yang hendak disokong. Pada kami biar pasangan yang melakukan kesalahan jenayah syariah diambil tindakan undang-undang selain berkahwin demi menyelamatkan maruah mereka dan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan