18 Julai 2013

Profesor USM Didakwa Palsukan Tuntutan Elaun Perjalanan

9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - 

Prof Dr P. Ambigapathy didakwa membuat kenyataan palsu dalam tuntutan elaun perjalanan untuk tugasan rasminya pada 2010 dengan nilai sebanyak RM1,242. 
 
GEORGE TOWN: Seorang profesor Universiti Sains Malaysia (USM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Khamis terhadap tiga pertuduhan membuat kenyataan palsu dalam tuntutan elaun perjalanan untuk tugasan rasminya pada 2010.
Prof Dr P. Ambigapathy, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Khairul Anuar Abdul Halim.
Ambigapathy, 56, dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di pejabat USM dengan niat memperdayakan Pembantu Tadbir Kewangan Haryatie Zainor, dengan menyerahkan dokumen iaitu kenyataan tuntutan elaun perjalanan dalam negeri yang palsu bagi bulan Februari 2010 untuk tugasan rasminya dengan nilai sebanyak RM1,242.

Kesemua tuntutan perjalanan rasmi itu dibuat dengan menggunakan kereta sendiri jenis Mercedez Benz bernombor pendaftaran PJL 1292 sedangkan tertuduh sebenarnya menggunakan kereta jabatan jenis Proton Perdana dengan nombor pendaftaran PHJ 6116.

Bagi pertuduhan pertama, Ambigapathy didakwa pada 10 Februari 2010 telah mengemukakan tuntutan perjalanan rasminya bagi kerja lapangan dan mengumpul data penyelidikan yang berlangsung pada 6 hingga 8 Februari 2010.

Bagi dua lagi pertuduhan, beliau didakwa pada 7 Jun 2010 telah mengemukakan tuntutan perjalanan rasminya untuk kajian penyelidikan di USM Kubang Kerian, Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 6 Feb 2010 dan ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 7 Feb dan 9 Februari 2010.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang dari lima kali ganda atau nilai butir matan yang palsu jika dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Khairul Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos untuk sebutan semula kes.

Ambigapathy diwakili peguam M. Athimulan manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Janariah Abdul Mutalib.-BERNAMA

Tiada ulasan: