11 September 2013

Altantuya: Kenyataan KPN malukan Najib

5 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa polis tidak akan membuat siasatan baru terhadap kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dilihat seperti mahu "memalukan" Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berpendapat kenyataan tersebut juga boleh menjatuhkan imej negara kerana boleh dilihat tidak serius dalam soal menegakkan keadilan.
"Saya melihat kenyataan KPN itu hanya bertujuan untuk memalukan Najib tidak ada sebab lain dan kalau ada sebab lain kenapa beliau tidak mahu meneruskan siasatan baru.

"Ini merupakan perbuatan jenayah yang cukup berat, KPN tidak boleh buat tidak kisah tentang perbuatan tersebut dan kita perlu ingat ia akan melibatkan imej negara ini," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Katanya, adalah tidak mungkin berlaku sesuatu pembunuhan tetapi kita tidak mengetahui siapa pembunuhnya, dan pihak berkuasa pula mengambil sikap tidak mahu meneruskan siasatan sehingga tertangkapnya pembunuh sebenar.

Beliau juga melahirkan kebimbangan kes ini menjadi satu lagi episod jenaka kepada sistem keadilan negara.

"Kalau polis tak nak siasat, kita yang perlu siasat polis apa penyebab utama mereka tidak mahu meneruskan siasatan.

"Ini memperlihatkan seolah-oleh negara kita ini tidak mempunyai undang-undang. Tapi dalam kes membabitkan Pakatan Rakyat, polis nampaknya berebut-rebut mahu siasat," katanya yang juga seorang peguam.

Bagi beliau, penyelesaian terbaik dalam isu ini adalah dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan di Raja, yang mempunyai kuasa untuk menyiasat keseluruhan termasuk dalam jabatan polis itu sendiri.
harakahdaily.net

No comments: