11 September 2013

S'gor tawar pelajar Mesir sambung di KUIS


5 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily,11 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif memberi ruang kepada anak negeri itu yang telah melanjutkan pengajian di Mesir sebelum ini, untuk menyambung pengajian mereka di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).


Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata tindakan itu dibuat bagi memastikan pelajar-pelajar Selangor di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang terkesan dengan krisis Mesir dapat melangsungkan pengajian mereka dengan selamat di negara ini.



“Sekurang-kurangnya 1,200 pelajar Selangor tajaan LZS belajar (bidang agama) di Mesir. Kita khuatir risiko keselamatan mereka selain persekitaran yang tidak sesuai untuk mereka meneruskan pengajian mereka, jadi kita tawarkan mereka menyambung pelajaran mereka dalam bidang yang sama di KUIS,”ujarnya dipetik Selangorku.



Dr Halimah juga memaklumkan sebanyak 79 pelajar tajaan LZS yang sepatutnya melangsungkan pengajian mereka di Mesir telah diserapkan terus ke KUIS ekoran krisis di negara itu yang belum selesai.



Sementara itu, Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Abd Halim Tamuri berkata kemasukan pelajar-pelajar dari Mesir ini akan diselaras mengikut pemindahan jam kredit dan bergantung kepada transkrip pelajar sewaktu di Mesir.



Beliau juga memaklumkan pihak KUIS sedang berusaha membawa tenaga pengajar bertauliah dari negara Mesir dan Syria bagi memenuhi keperluan pelajar tersebut.



“Pihak kami akan berikan yang terbaik untuk mereka termasuk menyediakan tenaga pengajar bertauliah dari Mesir dan Syria,”ujarnya.

No comments: