11 September 2013

Menteri Kabinet: Umno tak akan berkuasa sampai Kiamat


5 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) hari ini menggesa pemimpin Umno agar segera melakukan perubahan sebelum rakyat sendiri memilih untuk berubah.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata perubahan radikal perlu dilakukan dalam Umno jika parti itu mahu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Memang kita tahu ada masalah. Kita perlu buat transformasi yang radikal jika nak menang PRU14.
"Di negara luar perubahan kerajaan perkara biasa tetapi di Malaysia masih belum berlaku. Jadi kita perlu ubah diri kita, kalau tidak, kita akan diubah," katanya semasa ditemui pemberita semasa menghadiri dialog Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Kuala Lumpur hari ini.
Apabila ditanya tentang pandangan dua pemimpin Umno yang mengatakan masyarakat telah muak dengan Umno, beliau berkata: "Betul dengan tak betul lah. Kita dalam Umno kena ingat, kita tidak akan berkuasa sampai Kiamat. Jadi kena sedarkan diri," katanya.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata masyarakat sudah muak dengan apa yang berlaku dalam Umno setelah janji untuk berubah sebelum pilihan raya umum lalu tidak dilakukan.
Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz turut menyokong kenyataan Nur Jazlan yang menyatakan masyarakat sudah muak dengan Umno dengan berkata sudah tiba masanya parti itu melakukan perubahan sekiranya ingin terus kekal relevan kepada masyarakat.
Katanya, negara ini punya kebebasan bersuara dan apa yang dikatakan Nur Jazlan merupakan sesuatu yang betul dan tidak salah sama sekali.
Beliau berkata pemilihan Umno sudah diadakan berulang kali dan setiap ahli perlu belajar dari kelemahan dan tidak terlalu tamak untuk merebut jawatan.
Katanya, calon sebenar perlu menawan hati pengundi di peringkat bawah kerana populariti dalam Umno tidak akan menjamin kemenangan dalam pilihan raya.
Nazri juga menyokong Umno kini perlu memberi ruang kepada pemimpin muda.
"Saya setuju 100 peratus tampilkan pemimpin muda yang baru ini seperti meremajakan semula parti. Bagi pemimpin lama mereka boleh juga datang tapi memerhati saja," katanya.TMI/-

Tiada ulasan: