11 September 2013

Mediu sedia tempatkan pelajar daripada Al-Azhar


5 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) telah mengambil peranan bersama Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menyelesaikan isu pelajar-pelajar Malaysia yang telah dibawa pulang dari Mesir.

Sebagai inisiatif untuk membantu dan mencipta platform terbaik kepada pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang telah dibawa pulang ke tanah air, dengan jumlah sehingga kini ialah 2,700 orang pelajar ekoran daripada pergolakan yang meruncing di Negara Timur Tengah, Mediu telah menyatakan kesediaan untuk menempatkan pelajar-pelajar daripada Al-Azhar dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab. 

Kesediaan itu telah disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al-Tamimi melalui suratnya kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al Tamimi juga telah menyatakan bahawa lebih 90% modul pengajian yang diguna pakai di Mediu bagi bidang pengajian Islam dan Bahasa Arab adalah dengan kerjasama daripada Universiti Al-Azhar. 

Menurutnya, manakala sebahagian besar pensyarah pula adalah berasal daripada Timur Tengah dan Asia Barat yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan yang terdiri daripada lepasan pengajian peringkat Ph.D di Universiti Al-Azhar, Universiti Islam Madinah, Universiti Islam di Jordan, Universiti tempatan dan beberapa universiti terkemuka didalam jurusan Pengajian Islam yang lain. 

Beliau berkata, Mediu merasa amat berbesar hati di atas kepercayaan yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha Menangani perkara ini. 

“Ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di atas kepercayaan terhadap Universiti Antarabangsa Al-Madinah, dan kami akan menggunakan  peluang ini untuk kami menabur bakti terhadap warga tempatan yang terdiri daripada pelajar Universiti Al-Azhar bagi  memastikan mereka mencapai cita-cita yang disemai seterusnya menjadi warga yang berjasa kepada agama  bangsa, dan negara," ujarnya melalui surat tersebut.

Sehubungan itu, Mediu telah dijemput oleh Jabatan Pengajian Tinggi  bagi menghadiri mesyuarat khas  pada 6 September lalu bertempat di Dewan Ibn Hazm, Jabatan Pengajian Tinggi di Putrajaya dengan dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Ibrahim Ali.

Mediu yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Hal Ehwal Akademik; Associate Professor Dr Wan Mat Sulaiman telah menyatakan tentang  kesediaan untuk menempatkan pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar Mesir bagi menyambung pengajian mereka  seramai 600 pelajar bagi pengajian secara konvensional (conventional learning)  di bilik kuliah yang serba lengkap dengan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa yang berpusat di Shah Alam, Selangor. 

Manakala pengajian secara e-pembelajaran (online learning) tiada had yang ditetapkan dan Mediu boleh menerima walaupun jumlah yang ramai. 

Mediu dalam satu kenyataan merasa amat terharu di atas inisiatif dan kesungguhan Kementerian Pendidikan Malaysia dan meminta pelajar-pelajar  yang terlibat untuk hadir pada hari terbuka Jabatan Pengajian Tinggi bersama pelajar-pelajar Mesir yang akan diadakan di Jabatan Pengajian Tinggi, Presint 5, Putrajaya pada 12 September ini.

No comments: