KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan mencatat sejarah apabila muncul sebagai dewan legislatif pertama di negara ini melulus usul mengutuk dan mengecam keganasan tentera di Mesir.
Speaker, Ustaz Abdullah Ya’kub selepas meminta sokongan ahli-ahli Dewan terhadap usul tersebut memberitahu Dun Kelantan mengambil ketetapan mengutuk dan mengecam sekeras-keras pembunuhan rakyat Mesir.
Selain itu mendesak hendaklah dihentikan segera pembunuhan dan meminta tentera mengembalikan semula demokrasi di Mesir dengan memberi kuasa kepada rakyat.
Penyokong kerajaan Datuk Husam Musa (PAS-Salor) dan Ustaz Hassan Mohamood (PAS-Tawang) mahu nota bantahan Dun Kelantan dihantar kepada kerajaan Malaysia, Persidangan Negara Islam (OIC) dan pemerintah Mesir sekarang, Jeneral Fatah As Sisi.
Hassan juga menyifatkan sikap kerajaan Malaysia yang diam seribu bahasa terhadap konflik di Mesir sekarang sebagai membisu bagi menyatakan kebenaran.
“Diam bagi menyatakan kebenaran boleh dianggap sebagai syaitan bisu. Ini kerana Islam tidak kompromi dengan segala bentuk kezaliman,” katanya.
Ketika berucap membahas usul tersebut kata beliau tindakan kudeta yang dilakukan tentera Mesir bertentangan sama sekali dengan hasrat rakyat Mesir mahu keluar daripada kezaliman selama lebih 30 tahun di bawah Hosni Mubarak.
Husam pula mahu Dun Kelantan juga menyatakan bantahan keras terhadap penindasan dan kezaliman yang berlaku terhadap umat Islam di Syria, Myanmar dan Palestin.
Menurutnya di Syria lebih 200,000 rakyat terkorban dan ramai lagi yang cedera.
“Lebih dahsyat lagi ramai kanak-kanak mati akibat terkena gas beracun. Ini merupakan kekejaman yang paling hebat di abab ini,” ujarnya.
Turut mengambil bahagian membahas usul tersebut Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (PAS-Chempaka) berkata, Mesir mengeluarkan ramai ulama di seluruh dunia melalui Universiti Al Azhar.
Oleh yang demikian katanya orang Islam di sebelah ini hendalah mengutuk sekeras-keras tamaruk yang dipimpin Fatah As Sisi.
“Kita juga berdoa kepada Allah Taala supaya rakyat Mesir yang menyokong Morsi supaya terus diperkukuhkan iman,” katanya ketika ditemui ketika persidangan Dun berhenti rehat.
Beliau juga menyifatkan kerajaan Malaysia masih lagi bersikap sekular kerana tidak menzahirkan pandangan terhadap kudeta di Mesir.
“Ini kerana mereka hanya menjaga orang Melayu sahaja, Mesir tidak ada orang Melayu, sedangkan Islam jaga manusia, bukan jaga orang Melayu sahaja,” tambahnya.
Beliau juga melahirkan rasa aneh terhadap ucapan Ketua Pembangkang Dun Kelantan yang menganggap rakyat di negara ini tidak mendapat maklumat sebenar di Mesir.
“Adun berkenaan sebut Mesir jauh dari Kelantan, ini tidak masuk akal, dahulu betullah, sekarang setiap minit yang berlaku di Mesir kita sudah tahu.
“Zaman internet sekarang tidak munasabah sekali kita tidak tahu apa yang berlaku. Ini memalukan Umno itu sendiri,” katanya.
Menteri Besar ketika ditemui kemudian berkata, kerajaan negeri mengambil ketetapan serupa dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menghantar balik pelajar selepas keadaan di Mesir bertambah baik.
“Kita akan bekerjasama dengan kerajaan pusat. Sebaliknya kalau keadaan masih tidak menentu kita minta kerajaan mempertimbangkan mana-mana institusi pengajian tempatan untuk mereka menyambung pengajian di sini,” katanya.
Menurutnya terdapat seramai hampir 400 pelajar Kelantan yang berada di kampung sekarang selepas balik bercuti, sebelum dan semasa konflik berlaku.
harakahdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan