11 September 2013

Balak haram Sarawak dihantar ke Jepun, dedah laporan

5 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -























Syarikat Jepun membeli balak haram dari hutan hujan yang diancam bahaya di Sarawak dan mendapat kelulusan "sah" dibawah skim yang disokong kerajaan.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Global Witness (GW) dalam laporan terkini tersebut mendedahkan dua syarikat Jepun Sojitz Corporation dan Itochu Corporation telah membeli balak daripada dua syarikat terbesar di Sarawak iaitu Samling Global dan Shin Yang Group, yang didakwana terlibat dalam "pembalakan haram sistematik dan merosakkan".
"Siasatan terbaru oleh Global Witness dan lain-lain pihak telah menemui gambaran mendalam terhadap krisis di Sarawak.
"Rasuah dalam peruntukan tanah dan lesen perhutanan sistematik yang melibatkan peringkat tertinggi kerajaan. Penguatkuasaan yang lemah dan tidak bertanggungjawab oleh syarikat-syarikat pembalakan menyebabkan pembalakan haram dan tidak mapan berlaku secara meluas, "kata pemerhati persekitaran global tersebut dalam laporan 24 muka surat.
Samling dan Shin Yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri Sarawak  Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Awal Mac lalu, Taib juga mendapat perhatian antarabangsa selepas GW mendedahkan dalam sebuah dokumentari penglibatannya dalam perjanjian tanah dan pembalakan bernilai jutaan ringgit.
Taib kemudiaan membalasnya dengan mencabar Global Witness untuk berdebat dengannya dalam isu rundingan tanah haram di Sarawak, dan menuduh kumpulan aktivis alam sekitar antarabangsa itu mempunyai agenda tersembunyi dengan melawat negeri terbesar Malaysia itu menggunakan “cara licik”.
Beliau juga menegaskan Sarawak telah mengurangkan pembalakan tahunan untuk memastikan  kemapanan pengeluaran balak di kawasan hutan simpan kekal, sebagai sebahagian daripada komitmen kepada Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) yang mencadangkan supaya perdagangan balak mestilah daripada hutan yang diuruskan secara mampan.
Global Witness berkata meskipun memiliki bukti, Sojitz dan Itochu masih meneruskan pengambilan daripada rakannya di Malaysia dan tidak mendapatkan pengesahan sewajarnya sama ada balak yang diperoleh daripada kedua syarikat itu dikeluarkan secara sah ataupun tidak dan sama ada bebas daripada pencabulan hak asasi manusia.
Organisasi bukan kerajaan menyatakan kebanyakan balak yang datang dari Sarawak, termasuk yang diperoleh daripada pembalakan di mana konsesi pembalakan haram sistematik telah didokumenkan, berkemungkinan disijilkan sebagai "sah" dalam sistem pengesahan di bawah Goho-wood seperti yang digunapakai oleh kerajaan Jepun dan industri.
Di bawah Goho-wood, Jepun menerima jaminan daripada kerajaan Sarawak sebagai bukti sah yang mencukupi.
"Faktanya begitu banyak kayu dari Sarawak menerima cop kelulusan daripada Goho-wood walaupun wujud bukti pembalakan haram sistematik oleh syarikat-syarikat pembalakan menimbulkan kebimbangan yang sangat serius," kata ketua polisi perhutanan antarabangsa Global Witness, Rick Jacobsen .
Beliau berkata memandangkan Sarawak adalah sumber terbesar kayu tropika untuk Jepun, ia mungkin menjelaskan sikap kerajaan Jepun dan industri yang melihatnya dengan sebelah mata terhadap pembalakan haram dan tidak mapan yang berleluasan di Sarawak.
Dalam maklum balasnya, kedua-dua syarikat Jepun tersebut telah meminta jaminan tambahan daripada kerajaan negeri Sarawak dan industri sejurus dakwaan wujudnya pembalakan haram.
Sojitz Corporation menafikan syarikat Samling dan Shin Yang terlibat dalam pembalakan haram.
Itochu Corporation berkata berdasarkan tinjauan pembekal tahunan, mereka tidak menemui sebarang bukti ke atas pembalakan tidak mapan atau salahguna hak asasi manusia ke atas Samling dan Shin Yang, disamping menegaskan kedua-dua syarikat tersebut pada 2012 telah memenuhi piawaian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Jepun merupakan pengimport terbesar dari Sarawak sejak 20 tahun lalu, menyumbang separuh daripada keseluruhan eksport papan lapis tropika.
Perdagangan balak antara Jepun dan Sarawak dikuasai beberapa syarikat-syarikat perdagangan terbesar di Jepun, ramai daripada mereka adalah rakan perdagangan jangka panjang dengan syarikat pembalakan terbesar di Sarawak.
Namun, pembalakan haram yang berleluasan memberikan kesan kepada hutan hujan di Sarawak dan mengancam hak kehidupan masyarakat pribumi yang manatanah nenek moyang mereka sering diabaikan oleh kerajaan.
Kadar penebangan hutan di Sarawak adalah antara yang tertinggi di dunia, dan hanya 5% daripada hutan asal di Sarawak tidak terjejas oleh pembalakan atau lesen untuk perladangan, kata Global Witness. TMI/-

No comments: