24 Oktober 2013

22 kereta mewah RM25.7j dirampas

19 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
22 kereta mewah RM25.7j dirampas
Sebahagian kereta mewah ‘lari cukai’ bernilai RM25.7 juta yang dirampas kastam di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Saddam Yusoff
Kuala Lumpur: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas 22 kenderaan mewah bernilai RM25.7 juta yang dibeli di Pulau Langkawi dan Labuan tetapi digunakan di tanah besar bagi mengelak cukai.


Kenderaan terbabit dari jenis Ferrari, Bentley, Porsche, Lamborghini, Rolls Royce dan Nissan GTR 35 yang dirampas dalam lima serbuan berasingan di sekitar ibu kota serta satu di kawasan rehat dan rawat Tapah. 


Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata serbuan pertama dilancarkan pada jam 8 malam 16 Oktober lalu, di tempat letak kereta sebuah hotel di sini dan merampas 11 Ferrari dan sebuah Rolls Royce.


Tak lulus cukai

“Semakan mendapati 12 kereta terbabit menggunakan nombor plat KV (Langkawi), LE (Labuan) dan G1M (Gagasan 1 Malaysia) yang tidak mendapat kelulusan cukai dari pihak KDRM.

“Kita merampas kenderaan berkenaan dan menahan pemiliknya untuk dirakam percakapan,” katanya di sini, semalam.

Susulan rampasan itu, pihaknya melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Bandar Manjalara, Kepong, pada jam 9 malam 18 Oktober lalu dan menemui sebuah Ferrari dan Lamborghini. 
Dalam serbuan ketiga pula, katanya, KDRM menahan sebuah treler yang menghala ke utara di Hentian Rehat dan Rawat Tapah, Perak, jam 2 pagi Ahad lalu. 

“KDRM merampas dua Ferrari serta sebuah Bentley dan Porsche yang menggunakan nombor pendaftaran LE,” katanya. 

Pemandu treler berusia 50 tahun itu ditahan dan mendakwa diupah membawa empat kereta mewah itu ke Langkawi.

KDRM percaya pemiliknya cuba menghantar kereta ke pulau itu bagi mengelakkan dirampas kerana melebihi tempoh berada di Kawasan Utama Kastam (KUK) iaitu di luar pulau bebas cukai.

Serbuan keempat membabitkan sebuah pusat pameran di Cheras, di sini, pada jam 7 pagi hari sama dan merampas dua Lamborghini dan sebuah Nissan GTR 35 menggunakan nombor plat LE. 

“Susulan itu, jam 9 malam tadi (kelmarin), sebuah lagi Ferrari turut dirampas di premis perniagaan di Bandar Manjalara yang menggunakan nombor plat G1M,” katanya.BH/-

Tiada ulasan: