24 Oktober 2013

Laporan NFC akan diumumkan 2 minggu lagi

nur jazlan mohamed 071008 02
19 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung kontroversi projek Pusat Fidlot Nasional akan diumumkan dua minggu lagi.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed (kiri) berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua bersama anggota jawatankuasa baru yang sedang mengesahkan laporan itu.

Laporan itu disediakan oleh jawatankuasa penggal sebelum ini.

"Kami akan bentangkannya dalam tempoh dua minggu. Untuk berlaku adil kepada jawatankuasa baru, mereka harus membincangkannya juga," katanya di lobi Parlimen hari ini.


Seorang anggotanya Tony Pua sebelum ini berkata terdapat "butiran menarik" dalam laporan itu.
PAC juga memutuskan untuk menyiasat kelewatan yang lama dalam pembinaan dan penyiapan projek KLIA2 , yang telah ditangguhkan sebanyak lima kali.

Kos projek itu juga turut meningkat lebih dua kali ganda - daripada RM1.9 bilion kepada hampir RM4 bilion - sepanjang berlakunya kelewatan tersebut, dan kini ia dijangka siap tahun depan.

Nur Jazlan berkata, walaupun projek tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan Audit, tetapi menurutnya ia adalah satu kes yang kepentingan awam. 

Oleh itu, katanya, PAC mahu memanggil kementerian pengangkutan untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Kementerian pengangkutan akan berdepan dengan PAC pada 19 November berhubung kelewatan pembinaan KLIA2 dan perolehan peralatan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ( KKIA).

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: