24 October 2013

Jumlah Mangsa Banjir di Perak Berkurangan


19 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

IPOH: Jumlah mangsa banjir di daerah Manjung berkurangan kepada 269 orang pagi Khamis berbanding lebih 1,000 orang.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Manjung Anuwar Ismail berkata sebanyak tiga pusat pemindahan masih dibuka iaitu di daerah Manjung yang menempatkan 126 mangsa, Dewan Orang Ramai Kampung Tebuk Yan (51 orang) dan Dewan Taman Bintang (92 orang).

"Pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Sungai Batu ditutup pada pukul 10 pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai Zainudin Mohd Nordin berkata sebanyak 14 mangsa dari enam keluarga di Kampung Parit Simpang 4 dan Kampung Parit Simpang 5 dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu petang Rabu.
"Kawasan di sini tidak mengalami hujan lebat yang berterusan namun keadaan banjir terjadi kerana air naik secara mendadak. Setakat ini air di kampung-kampung terlibat masih bertakung," katanya.
Sementara itu menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara, sebanyak 14 orang dari empat keluarga di daerah Larut Matang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Padang Serai Dalam.
Fenomena air pasang, peralihan monsun dan hujan lebat menyebabkan berlakunya banjir di beberapa kawasan di Perak. -BERNAMA

No comments: