24 Oktober 2013

Polis, Felda beri ruang rakyat bergerak - Mazlan

19 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Mazlan dan rakan-rakan di luar Mahkamah Tinggi Temerloh.

TEMERLOH: “Saya pun tak sangka diberi kemenangan hari ini, tetapi saya banyak serahkan urusan ini kepada Allah. Maka dengan keputusan ini harapan saya supaya polis dan Felda berilah rakyat ruang bergerak demi transformasi dan keadilan,” kata Mazlan Aliman.


Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu berkata demikian dalam sidang media sebaik diumumkan menang dalam kesnya menyaman polis dan Kerajaan Malaysia oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir di sini.



Berikutan keputusan berkenaan, hakim mengarahkan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi kepada Mazlan  sebanyak RM300,000 akibat polis tersalah tahan, RM50,000 sebagai ganti rugi tauladan, RM20,000 kos mahkamah dan faedah 8% dari tarikh saman sehingga tarikh melunaskan semua pembayaran. 



Saman tersebut difailkan Mazlan pada 18 Ogos 2010 berikutan tangkapan berniat jahat oleh polis di Felda Lembah Klau pada 9 Mac 2010. 



Mazlan berkata, hari ini merupakan detik-detik gembira baginya serta rakan-rakan setelah terlibat memperjuangkan isu-isu Felda sejak tahun 1989.



“Keputusan hari ini sangat menggembirakan saya, sebab sebagai rakyat Malaysia saya terasa hak asasi saya  disekat termasuk ketika Kembara Oren. 



“Terima kasih saya juga kepada pasukan peguam dan sahabat-sahabat yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan saya.



“Bagaimanapun saya masih ada beberapa kes mahkamah lagi. Saya menyaman Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap yang memfitnah saya makan duit peneroka Kemahang. 



“Saya juga berhadapan dengan saman Ahli Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman dalam kes Rapid dan saman Felda dalam isu penjualan minyak sawit ke Israel,” jelasnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: