24 Oktober 2013

PRK Sungai Limau penting, medan protes rakyat


19 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily/-

JERAI: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengajak para pengundi Dun Sungai Limau menjadikan pilihan raya kecil (PRK) ini sebagai medan protes rakyat.

Menurutnya, selepas PRU13 lalu, rakyat telah menghadapi pelbagai tekanan antaranya kenaikan harga minyak, harga barang, peningkatan kadar jenayah dan sebagainya.

Kata beliau, walaupun dapat dilihat rasa tidak puas hati rakyat di seluruh negara, namun medan pilihanraya adalah ruang yang paling berautoriti untuk menzahirkan protes tersebut.

"Pengundi Dun Sungai Limau harus mengambil kesempatan ini mewakili rakyat Malaysia untuk menzahirkan protes rakyat kepada kerajaan dengan menolak BN pada 4 November ini.

"Jadikan undi ataupun mandat rakyat ini sebagai satu proses pendidikan politik yang boleh kita ajar kepada BN," katanya ketika ditemui di Markas Induk Petugas PAS Perak, Selengkoh, semalam.


Salahuddin berkata, BN cuba menggambarkan pilihanraya kecil kali ini bukanlah suatu perkara yang penting sebaliknya ianya adalah sekadar mempertahankan kemenangan PAS di situ.

Kata beliau, ianya adalah satu perang psikologi dan saraf BN khususnya kepada pengundi PAS untuk mengganggu pemikiran serta emosi mereka.

"BN cuba kacau pemikiran dan emosi rakyat dengan menggambarkan pilihanraya ini bukanlah penting dan tidak salah jika cuba-cuba untuk tukar kepada dacing (BN) manakala pengundi luar tidak balik pun tidak mengapalah.

"Ini adalah taktik yang biasa digunapakai oleh BN dalam setiap pilihanraya khususnya kepada pengundi yang menyokong PAS," ujar beliau.

Jelas Salahuddin, keputusan pilihanraya ini sangat penting dan boleh merubah landskap masa depan politik khususnya di negeri Kedah di bawah kepimpinan baru yang diketuai oleh Datuk Mukhriz Mahathir.

Pilihanraya inilah katanya menjadi satu peluang untuk memberikan mesej kepada kerajaan BN Kedah bahawasanya rakyat di negeri ini masih teguh memberikan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

PAS meletakkan Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerai, Ustaz Mohd Azam Abd Samat sebagai calon pada PRK Sungai Limau ini
.

Tiada ulasan: