24 Oktober 2013

Pelajar bertempiran, bumbung asrama diterbang angin

19 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Penghuni asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Alor Setar, lari bertempiaran apabila bumbung bangunan terbabit diterbangkan angin kencang dalam kejadian petang semalam. 

    
Dalam insiden pukul 4.30 petang itu, pelajar tingkatan empat dan lima terbabit serta warden mereka bertempiaran mencari tempat perlindungan apabila tiba-tiba bumbung bangunan tercabut.
    
Muhammad Adib Md Dan, 17, berkata semasa kejadian, dia dan rakan-rakannya baru pulang dari kelas tambahan.



    
"Masa kejadian, saya dan rakan-rakan baru habis kelas tambahan dan sampai di asrama, kami duduk di bahagian koridor sebelum menunaikan sembahyang Asar.
    
"Tiba-tiba angin kencang seperti puting beliung datang dan terbangkan bumbung asrama. Bumbung ampaian baju yang terletak di belakang asrama pun diterbangkan angin," katanya kepada pemberita di Alor Setar.
    
Adib berkata dalam keadaan kelam-kabut itu, dia dan rakan-rakannya menyorok di bawah katil bagi menyelamatkan diri. 
    
Seorang lagi pelajar, Muhammad Naim Nor Faiz, 17, berkata ketika kejadian dia juga berada di koridor sebelum melihat atap zink bumbung asrama tercabut satu persatu.
    
"Kami lari menyorok bawah katil dan angin kencang itu mula berhenti selepas azan solat Asar berkumandang di surau sekolah," katanya.
    
Bernama

Tiada ulasan: