27 Oktober 2013

Bukit Aman keluar arahan tahan kerja anggota yang lepaskan tembakan

22 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

IPOH: Polis Bukit Aman sudah mengeluarkan arahan tahan kerja terhadap anggota polis yang melepaskan tembakan hingga mencederakan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Parit sehari sebelum Aidiladha. 

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu pada Jumaat lalu dengan surat berhubung perkara itu dari Bukit Aman dijangka diterima dalam tempoh beberapa hari ini sebelum diserahkan kepada anggota terbabit. 

"Kita juga sudah selesaikan siasatan kes ini dan sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas majlis makan tengah hari sempena penutup Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara 2013 di Kelab Golf Diraja Perak di sini hari ini. 

Dalam kejadian pada 14 Oktober lalu, seorang anggota polis berpangkat Sarjan dikatakan tertembak Mohd Amar Mohd Azizi sehingga peluru dari senjata itu tersangkut di kerongkong kanak-kanak berkenaan di Kampung Belanja Kiri, Parit. 

Kanak-kanak itu bagaimanapun selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru itu pada 20 Oktober lalu. BH/-

Tiada ulasan: