22 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Hassan Muhammad, 69(gambar) yang telah kembali ke rahmatullah jam 4.00 pagi semalam.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, ketika memberitahu Harakahdaily menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar kepada kerajaan dan parti.
Menurutnya, Allahyarham pernah ditawarkan dengan bayaran jutaan ringgit agar meninggalkan perjuangan PAS suatu ketika dahulu.
“Namun Allahyarham begitu istiqamah dalam perjuangan, tidak mengkhianati amanah yang diberikan rakyat padanya,” ujarnya lagi.
Tegas ustaz lagi, Allahyarham ialah seorang pejuang Islam yang disegani dan komited dengan jemaah.
“Moga Allah menempatkan Allahyarham di tempat hamba-hamba-Nya yang saleh,” ujarnya.
Allahyarham yang juga terkenal dengan gelaran ‘Ustaz Hassan Kaabah’ meninggalkan seorang isteri Datin Hasnah Salleh dan lima anak.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sekarang, Datuk Dr Mohamed Fadzli adalah anak sulung Allahyarham.
Allahyarham juga merupakan tokoh pendidik kerana pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Kelantan.
Diamanahkan sebagai Adun Temangan dan selepas itu Kemuning selama tiga penggal bermula pada 1995 hingga 2008.
Sementara itu, Dr Fadzli (gambar) mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin peringkat pusat dan negeri termasuk Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob yang perihatin dan mendoakan kesejahteraan ayahnya.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anggota masyarakat pelbagai lapisan, pimpinan peringkat negeri, bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa menziarahi ayah termasuk ketika sakit,” ujarnya.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan