27 October 2013

Syariah boleh dilaksanakan di negara ini – Aziz Bari


22 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
PENGKALAN CHEPA: Undang-undang syariah yang turut terkandung hukum hudud boleh dilaksanakan di negara ini  walaupun dianggap bertentangan dengan undang-undang negara yang disifatkan sekular.

Pakar undang-undang perlembagaan,  Dr Abdul Aziz Bari, berkata undang-undang syariah tidak dilaksanakan di Malaysia kerana pemimpin negara itu sendiri yang tidak mahu melaksanakannya, sedangkan ia boleh diperbaiki melalui undang-undang negara yang sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis forum perdana bertajuk ‘Hudud penyelesaian masalah ummah’ sempena program Konvensyen Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar, dekat sini, hari ini.

Program yang diadakan di Putik selama dua hari itu turut membariskan dua anggota panel iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Mumtaz Md Nawi dan Pensyarah Kias, Ustaz Muhammad Azhar.

“Alasan yang mengatakan undang-undang negara ini sebagai sekular adalah dari mereka yang tidak selesa dengan undang-undang syariah,” ujarnya.

Menurutnya, di Malaysia perbankan, zakat dan sebagainya telah dilaksanakan mengikut syariat, oleh itu tidak ada sebab hukuman berkaitan pesalah  contohnya tidak boleh diperbaiki bagi menjaga keharmonian negara.

“Perbankan Islam sudah ada, perlaksanaan zakat juga telah dibuat dan sebagainya, namun undang-undang Islam tidak dilaksanakan atas desakan pihak tertentu,” ujarnya.

Menyentuh tentang perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah ll (1993) yang turut mengandungi hukum hudud yang telah digubal dan bakal dilaksanakan di Kelantan, beliau berkata negeri itu mampu melaksanakannya dengan syarat perlu mengikut laluan yang dibenarkan Persekutuan.

Tambahnya, kehendak rakyat Kelantan yang inginkan hukuman hudud perlu dilaksanakan mengikut kerangka yang ada di negeri itu kerana ianya tidak bertentangan dengan dasar yang telah diterima di peringkat dunia.

Bagaimanapun, menurutnya  kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu agar ianya selaras dengan peruntukan undang-undang di peringkat Persekutuan.

Sambungnya, kemenangan PAS di peringkat Pusat bersama Pakatan Rakyat adalah antara faktor yang penting bagi melaksanakan perkara itu.

Harakahdaily/-

No comments: