Pembungkusan terkini mudah dibawa melancong ke mana sahaja
Sama sekali tidak menyangka inisiatif menghasilkan budu daripada lebihan ikan bilis 30 tahun lalu membuahkan hasil apabila jenama Budu Cap Ketereh kini semakin dikenali ramai.
Pengasasnya, Mat Ismail Jusoh, 60, yang kini bergelar Pengarah Urusan jenama berkenaan cukup berbangga apabila usaha yang dilakukannya selama ini membuat produknya kini mampu menjengah sehingga pasaran Asia Barat dan menjadi antara barangan penting bagi jemaah haji.
Memperkenalkan pembungkusan dalam bentuk paket, katanya, kini budu sudah mampu dibawa ke merata tempat tanpa gusar risiko botol pecah di dalam pesawat.
"Ini kerana lidah orang Melayu terutama orang Kelantan, memang janggal kalau menikmati hidangan nasi tanpa budu," katanya ketika ditemui di tempat pembungkusan budu miliknya di Kampung Geting, di sini.
Menyingkap semula sejarah perusahaan itu, Mat Ismail yang asalnya seorang nelayan memberitahu pada 1980-an, bekalan ikan bilis banyak dan tidak terjual, lalu beliau mengambil keputusan untuk membuat budu.
"Memandangkan ramuannya yang tidak rumit iaitu hanya menggunakan garam, gula dan pewarna, ikan bilis hanya diperam dalam tempayan dan tunggu beberapa bulan untuk menjadi budu.
"Beberapa tahun selepas itu, apabila perusahaan semakin maju barulah saya mendirikan kilang, kini menempatkan 450 tong dengan setiap satu tong mengandungi tiga tan ikan bilis yang diperam lebih lapan bulan," katanya yang mendapat bekalan ikan bilis dari Tok Bali.
Luaskan pasaran luar negara
Dengan memiliki 60 pekerja, syarikatnya mampu mengeluarkan lebih 4,000 botol budu setiap hari untuk dieksport ke luar negeri selain pasaran tempatan.
Bapa kepada lapan anak itu, berkata Budu Cap Ketereh kini dalam proses menghasilkan pembungkusan menggunakan tiub yang dianggap lebih relevan dalam semua situasi dan mudah dibawa ke mana saja terutama bagi mereka yang ingin melancong ke luar negara.
Kandungan seberat 70 mililiter (ml) yang bakal dijual pada harga serendah RM1.20 itu dihasilkan dalam bentuk yang pekat bagi tujuan lebih menjimatkan.
"Maksud jimat di sini adalah kerana pengguna perlu mencampurkan sedikit air apabila ingin makan, jadi mereka hanya menggunakan sedikit saja kandungan dalam tiub itu.
"Saya mendapat ilham menghasilkan budu dalam bentuk tiub ini apabila mengunjungi Vietnam baru-baru ini yang saya dapati agak susah mendapatkan makanan halal.
"Saya mula terfikir, jika sebelum ini budu sudah ada dalam bentuk paket, mungkin lebih elok kalau diisi dalam tiub yang lebih memudahkan untuk diletakkan dalam beg sandang dan tidak mudah pecah," katanya.
Sebagai perancangan untuk masa depan, beliau berkata selepas memperkenalkan pembungkusan budu dalam bentuk tiub ini di pasaran tempatan, beliau akan melebarkan sayap ke Thailand dengan menggunakan label bahasa itu.
SIRIM kaji untuk produk kosmetik
Bernaung di bawah syarikat Perusahaan Warisan Ketereh, jenama Budu Cap Ketereh mendapat pengiktirafan hak paten daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sekali gus produk ini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.
Walaupun ada pihak yang cuba meniru produknya dalam bentuk pembungkusan dan ilustrasi, Ismail berkata pembeli tidak tertipu memandangkan rasa yang berbeza dan dikeluarkan oleh syarikat lain.
Anak keduanya, Mohd Izuan Mat Ismail, 27 merangkap Pengurus Perusahaan Warisan Ketereh memberitahu pasaran budu keluaran syarikatnya itu semakin berkembang dan pasarannya tidak terhad dalam negeri.
"Kira-kira 30 peratus produk kami mendapat tempat untuk pasaran luar Kelantan serta beberapa wilayah Thailand termasuk Yala dan Pattani.
"Produk kami juga digunakan oleh Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dalam kajian untuk menghasilkan produk kosmetik," katanya. BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan