23 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
TANGGAL 23 Oktober lalu, Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman memenangi kes samannya terhadap polis dan Kerajaan Malaysia.
Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh, Datuk Akhtar Tahir mengarahkan Kerajaan Malaysia selaku defendan membayar ganti rugi akibat polis tersalah tahan sebanyak RM300,000, ganti rugi teladan RM50,000, kos mahkamah RM20,000 dan faedah 8 peratus dari tarikh saman.
Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia pada 18 Ogos 2010 .
Ikuti coretan Mazlan dalam laman facebook bagi mengulas keputusan mahkamah tersebut:
Saya mula terlibat dalam isu-isu Felda semenjak tahun 1989 lagi. Berbagai rintangan dan ujian yang dihadapi. Meskipun menghadapi tohmahan dan kata nesta yang keterlaluan, saya anggap ia ujian bagi mereka yang berjuang di jalan Allah.
Disekat, ditangkap, dicederakan, dikepung dan di'provoke' (dibangkitkan kemarahan) adalah cabaran yang telah ditempoh untuk sekian lama. Beberapa kali dilokap dan didakwa di mahkamah. Ibu dan isteri saya sangat maklum apa yang saya rasai. Mereka bukan sahaja memahami, tapi menjadi pendorong yang paling kuat.
Sewaktu saya ditahan pada 9 Mac 2010, kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Raub pada 10 Mac 2010 untuk direman; saya diaib dan dimalukan. Inspektor Azran mendakwa saya penjenayah besar; perlukan 9 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah untuk menangkap saya!
Sewaktu Kembara Oren, rombongan Anak disekat oleh beratus orang termasuk mereka yang diupah untuk melakukan provokasi. Di Felda Lasah, Kepis, Bukit Rokan, Jengka, Selasih, Sungai Tengi dan Teloi Kanan. Berapa ramai aktivis Anak yang dicederakan, termasuk kenderaan yang dirosakkan.
Perjuangan Anak mempertahankan hak warga Felda tidak pernah terhenti sampai hari ini, meskipun ditolak dalam PRU13 lalu. Pada ketika FGV berjoli atas harta peneroka, kepentingan Felda Holding mahu dirampas dari KPF, kami tetap berada di barisan hadapan menentangnya.
Laporan polis di IPD Dang Wangi kami buat, laporan SPRM kami lakukan. Solat Hajat di seluruh negara. Semuanya dilakukan untuk membantu rakyat yang tertindas. Puluhan ribu kami belanjakan untuk injunksi dan semakan kehakiman di mahkamah, kami cari duit sendiri.
Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga atas pertolongan-Nya. Sebulan saya memohon kepada Allah. Mengadu akan diri ini yang sangat lemah dan kerdil. Solat hajat dan munajat. Merayu kepada Yang Maha Esa.
Namun apapun ujian, saya tetap yakin dengan pertolongan Allah. Sebenarnya, Hakim Dato' Akhtar Tahir telah beberapa kali menghakimi kes-kes peneroka. Keputusannya tidak memihak kepada peneroka. Justeru di sebalik kebimbangan keputusan 23 Oktober, saya pasrah dan menyerah diri kepada Allah atas apa jua kemungkinan yang diputuskan Hakim.
Justeru apabila Yang Arif Dato' Akhtar Tahir membuat keputusan yang memihak kepada saya; Subhanallah, sesungguhnya Rahmat dan Kebesaran-Mu... Sebak dan amat terharu atas ketentuan Allah.
Perjuangan masih jauh. Lebih banyak ranjau bakal ditempuh. Sabar menghadapi rintangan dan senantiasa mendekatkan diri kepada Allah adalah rahsia kemenangan.
Terimakasih kepada peguam Wan Rohimi, Haris Abdullah dan Hanipa Maidin; panel guaman Anak yang jasanya terlalu banyak. Rakan-rakan dalam Lajnah Tanah dan Anak; Hj Razman, Dr Rosli Yaakob, Md Said Jonit, Ust Aris Faezol, Faizal, Zabidi, Yohanis, Fadil, Samsulbakri, Naraza, dan rakan taulan yang tiada hentinya mendokong perjuangan. Jasamu tetap kukenang sampai bila-bila.
Kemenangan ini menjadi motivasi berguna untuk terus berjuang dan berkorban demi Allah dan Rasul-Nya.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan