28 October 2013

PM, TPM disaran bayar bil elektrik, air kediaman rasmi


23 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya,Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menanggung sendiri bil elektrik dan air di kediaman rasmi mereka dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berkata cadangan itu berikutan peningkatan bil elektrik di kediaman rasmi dua pemimpin berkenaan iaitu sebanyak RM8,500 sehari, berbanding RM6,000 dua tahun lalu, lapor Media Selangorku.

Katanya, jumlah itu menjadikan perbelanjaan bil elektrik di Kompleks Seri Perdana lebih RM2.2 juta, manakala lebih RM300,000 dibelanjakan untuk bil air, pada tahun lalu.

Bagi Kompleks Sri Satria pula lebih RM865,000 dibelanjakan untuk bil elektrik, manakala perbelanjaan bil air sebanyak RM99,264.

“Najib minta rakyat supaya berjimat cermat tetapi ketika ini, beliau dan timbalannya yang boros mengurus perbelanjaan kos elektrik dan air di kediaman rasmi mereka,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, Anthony berkata, Najib dan Muhyiddin perlu menunjukkan contoh yang baik dalam menguruskan kos terbabit supaya tidak membebankan rakyat.

Beliau turut memberikan contoh pembaziran yang berlaku apabila Kompleks Seri Perdana dibina di atas tanah seluas lebih 17.19 hektar, berbanding White House dibina seluas kira-kira 7.29 hektar bersamaan Kompleks Seri Satria.

Harakahdaily/-

No comments: