28 Oktober 2013

Diabetes oh diabetes...


23 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Dr Azman Ibrahim ,
Diabetes atau kencing manis mungkin merupakan nama penyakit yang paling glamour di Malaysia sekarang. Dari pemimpin tertinggi negara hingga kedai kopi di kampung-kampung, topik kencing manis menjadi perbualan. 

Ulasannya dalam pelbagai rupa dan bentuk tetapi umum mengaitkannya dengan gula lantas kenaikan harga gula yang diumumkan dalam Bajet 2014 dianggap rahmat dan langkah yang sangat tepat untuk gaya hidup yang sihat. Malah ada menteri yang mengatakan, tanpa gula umur kita akan menjadi lebih panjang dan tenaga kelelakian akan meningkat! 

Semenjak dua hari lepas, saya memerhatikan ulasan-ulasan yang dibuat dengan pelbagai nada dan irama termasuklah ada yang mengaitkannya dengan hamba Allah yang telah kembali ke Rahmatullah. 

Saya sangat berharap agar tampil di kaca TV atau di dada akhbar mereka yang berkelayakan di Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menghuraikan kekeliruan yang sedang tersebar tetapi malangnya tiada yang tampil. Kekeliruan fakta di kalangan masyarakat umum ini terbiar begitu sahaja dengan membiarkan mereka yang tak berkeahlian terus membebel.

Saya bukannya pakar dalam bidang diabetes tetapi subjek General Medicine (Perubatan Am) antara subjek wajib yang diambil semasa pengajian dulu. Antara yang dipelajari adalah berkenaan penyakit yang sedang heboh sekarang ini.

Izinkan saya membuat sedikit huraian sambil berharap ada yang lebih pakar akan memberikan penjelasan lanjut. 

Diabetes atau kencing manis dibahagikan kepada 2 kategori (2 type) iaitu  type 1 dan type 2.

Diabetes Type 1 

Diabetes Type 1 berlaku apabila badan manusia tidak lagi dapat memproses penghasilan insulin kerana sistem imune badan sendiri telah menyerang dan memusnahkan sel-sel di mana insulin dihasilkan.

Punca kenapa hal ini berlaku tidak diketahui dengan jelas, tetapi ia mungkin termasuk faktor-faktor genetik dan faktor persekitaran. 

Terdapat satu teori yang menyatakan bahawa diabetes type 1 boleh berlaku selepas serangan virus tertentu. Orang yang mempunyai diabetes type 1 mesti mengambil insulin setiap hari untuk kelangsungan hidup. 

Tiada cara yang diketahui untuk mencegah atau mengubati diabetes type 1, tetapi ia boleh dikawal dengan mengekalkan tahap glukosa (gula) darah dalam julat yang normal. 

Diabetes Type 2 

Diabetes type 2 adalah yang paling biasa berlaku. 

Bagi diabetes type 2, puncanya adalah sama ada badan tidak mampu memproses pengeluaran insulin dengan jumlah yang mencukupi atau badan tidak boleh menggunakan insulin yang dihasilkan sendiri dengan kadar yang sepatutnya. 

Risiko untuk mengidap diabetes type 2 ini meningkat dengan meningkatnya usia seseorang. 

Punca diabetes type 2 ini sebahagian besarnya masih tidak diketahui, tetapi genetik dan gaya hidup yang memainkan peranan utama sebagai penyebab. 

Diabetes type 2 dikaitkan dengan masalah obesiti , faktor-faktor genetik serta gaya hidup yang tidak aktif. 

Sesetengah kaum dan etnik yang berisiko tinggi untuk mengidap diabetes type 2 termasuklah kita orang Asia. 

Tidak ada cara yang diketahui dengan tepat untuk mengubati diabetes jenis 2, tetapi ia boleh dikawal dengan menjaga tahap glukosa (gula) dalam darah dalam julat yang normal

Harapan saya, sebelum sesiapa sahaja dari kita bercakap dengan membuat kesimpulan mudah, eloklah dan lebih manis bagi kita untuk meneliti sedikit fakta-fakta mudah supaya ulasan kita tidak tersasar serta kita akan kelihatan cerdik. 

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Terengganu.

Tiada ulasan: