23 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
JERAI: Kerajaan BN Kedah dinasihati agar bercakap dan bertindak 'dalam keadaan sedar' memandangkan sudah lima bulan mereka memerintah negeri.
Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata, BN tidak perlu menunggu kemenangan mereka di Sungai Limau untuk membuat pembangunan kerana BN sudah berkuasa sebagai kerajaan.
"Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada awal kempen baru-baru ini mengakui Sungai Limau sudah berada dalam keadaan baik di bawah Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak namun BN akan melakukan lebih baik lagi jika BN menang di Dun tersebut.
"Saya ucap terima kasih kepada calon BN yang mengakui tentang kebaikan yang dilakukan Allahyarham Ustaz Azizan sepanjang pemerintahan beliau.
"Apa yang dilakukan oleh Allahyarham banyak dibantu oleh calon kita Ustaz Azam yang menjadi petugas kepada parti di peringkat Parlimen Jerai dan Dun.
"Kalau dia kata bila BN ambil alih mereka akan lakukan pembangunan, saya fikir bahawa mereka dah ambil alih kerajaan jadi sepatutnya tak perlu tunggu pilihan raya kecil baru nak tambah baik," kata beliau ketika ditemui Harakahdaly di Markaz Induk PAS PRK Sungai Limau, Batu 15, hari ini.
Tambah Mahfuz, sekiranya BN ikhlas ingin membangunkan Sungai Limau, seharusnya pembangunan itu dilakukan dalam tempoh lima bulan mereka memerintah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Mei lalu.
"Sepatutnya dalam tempoh lima bulan mereka dah buat sesuatu. Tapi dalam masa 5 bulan sebelum daripada kematian Allahyarham mereka tak pernah datang pun (Sungai Limau) untuk nak buat sesuatu yang lebih baik sedangkan mereka dah dapat kuasa.
"Jadi janganlah dia bercakap seolah-olah kerajaan BN tak berkuasa di Kedah," ujarnya yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Dun Sungai Limau.
Harakahdaily/-
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan