Menikmati kesegaran air nira nipah asli di kawasan pokok nipah dan sawah padi, merupakan pengalaman unik bagi pengunjung ke Ladang Nipah Ismail Che Kar, di Jalan Kuala Sedaka di Yan.
Mengusahakan perniagaan itu sejak 19 tahun lalu, pemilik Ismail Che Kar dan isteri Rohana Ali, berkata mereka mula menjadikan kawasan nipah tersebut sebagai taman sejak lima tahun lepas.
Kata beliau hasilnya memang memberangsangkan kerana rata-rata pelanggan yang datang memuji keindahan kawasan itu.
"Dulu kami sekadar jual air nira yang diambil dari kawasan belakang rumah tanpa berfikir untuk menjadikan kawasan berlumpur ini satu taman yang cantik," katanya.
Menurutnya selain menikmati air nira nipah yang segar, pelanggan juga berpeluang melihat sendiri proses mengambil air nira itu.
Sekarang ini pendapatan bertambah sekali ganda sebab ramai orang luar datang kerana ada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Limau ini, kata ibu kepada lima anak berkenaan.
Menurut Rohani, lazimnya beliau dan suami memperoleh sekitar RM150 sehari namun sejak PRK ini mereka mencatat jualan lebih RM300.
"Kami jual tak mahal, untuk air nira satu jag RM10, bagi jeli nira RM1 dan manisan nira pula RM4," katanya.
"Bekalan nira tak cukup sejak penamaan calon 23 Okt lepas dan saya dapatkan bekalan daripada rakan-rakan lain yang mengusahakan nira nipah. Pelanggan tidak perlu bimbang kerana nira nipah yang dihasilkan ini tulen tanpa dicampur dengan gula atau perasa lain," katanya.
Bagi pelanggan Shahril Rizal Saidon, 35, dari Klang, Selangor, air nira sememangnya enak untuk dinikmati ketika hari panas kerana dapat menghilangkan dahaga.
"Mula saudara ajak datang minum nira dan saya fikir saya akan pergi ke kawasan lumpur atau tepi jalan. Alangkah terkejutnya bila saya lihat kawasan berselut itu sebuah taman yang menarik," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan