28 Oktober 2013

Kes tembak: JPN sahkan Suspek guna IC palsu


23 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

TANAH MERAH - Nombor kad pengenalan pengawal keselamatan yang kini diburu selepas menembak mati seorang pegawai operasi Ambank di Subang Jaya, Rabu lalu, disahkan tidak wujud dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said berkata, perkara itu disahkan selepas pihaknya membuat semakan apabila siasatan polis mendapati suspek dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.


“Kita (JPN) sudah semak dari segi rekod, nombor kad pengenalan itu tidak wujud dalam sistem JPN. Kes ini dalam siasatan polis, jadi kita tunggu hasil siasatan,” katanya pada sidang media selepas Perjumpaan Khas dan Dialog Bersama Ketua Pengarah JPN Mengenai Pengenalan Diri sempena Program Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Tanah Merah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.18 petang, Rabu lalu, pegawai operasi bank terbabit, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak penjenayah kejam itu sejurus membuka sebuah peti besi berisi wang dan suspek melarikan wang berjumlah RM450,000.

Siasatan polis mendapati, suspek dipercayai warga asing itu menggunakan kad pengenalan palsu bagi membolehkannya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bertugas di beberapa bank sekitar Lembah Klang.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua pengawal keselamatan dan isteri suspek, kesemuanya warga Indonesia yang dipercayai bersubahat dengan penjenayah terbabit.

Bagaimanapun, identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza dan mengikut kad pengenalan itu berasal dari Tawau, Sabah masih belum diketahui.

Jariah berkata, majikan boleh membuat semakan dengan JPN jika ingin mengesahkan pekerja diambil adalah warga negara Malaysia berdasarkan maklumat kad pengenalan.

Katanya, selain untuk tinggal di negara ini secara haram, kebanyakan warga asing menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan pekerjaan dan melakukan jenayah.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: