28 Oktober 2013

Polis tahan lelaki dipercayai tikam isteri sampai mati

23 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Gombak: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menikam isterinya sehingga mati dalam satu pergaduhan di rumah mereka di ladang Bukit Darah dekat sini malam tadi. 

Suspek adalah bekas banduan yang baru beberapa hari keluar penjara dikatakan menggunakan pisau menikam beberapa kali mengenai tubuh isterinya dalam kejadian jam 9 malam.
Mangsa dikatakan sempat berlari ke rumah jirannya dalam keadaan berlumuran darah meminta bantuan sebelum disahkan mati beberapa minit kemudian. 


Orang ramai yang berada di lokasi berkenaan menahan suspek sebelum menghubungi dan menyerahkannya kepada pihak polis. 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi BH mengesahkan kejadian berlaku bagaimanapun belum mendapat laporan lengkap berhubung kejadian. 

"Pihak forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan beberapa keterangan saksi diambil bagi membantu siasatan. 

"Pasangan suami isteri itu dikatakan sering bergaduh dan kita sedang siasat rekod jenayah lampau suspek yang kini dalam tahanan polis," katanya yang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. BH/-

Tiada ulasan: