Operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa warga Indonesia yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam, Rabu lepas, dihentikan pihak berkuasa pada 7 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata ia akan disambung semula selama lima jam mulai 8 pagi ini.
"Selepas 1 tengah hari, pihak berkuasa tidak lagi menggunakan khidmat unit anjing pengesan dan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya pada sidang media di Cameron Highlands semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata operasi dalam skala kecil membabitkan 30 anggota keselamatan akan diteruskan sebelum ia dihentikan sepenuhnya, Isnin ini.

Wan Mohd Zahari berkata sehingga kini usaha mencari dilakukan sehingga jarak 25km dari kawasan bencana menyusuri Sungai Bertam.

Dalam kejadian 1 pagi Rabu lepas, banjir lumpur melanda Lembah Bertam, Ringlet di sini apabila air sungai melimpah susulan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar.

Insiden itu mengorbankan tiga nyawa selain seorang mangsa hilang. Ia turut memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan.

Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 semalam, mengumumkan peruntukan RM40 juta untuk melebar dan mendalamkan Sungai Bertam. 

Ketua Kampung Lembah Bertam Wong Fook Shai mengalu-alukan perkembangan itu, namun berharap Tenaga Nasional Berhad  (TNB) mengkaji semula prosedur pelepasan air empangan berkenaan.

Menurut seorang penduduk, S. Vijaya , 45, kerajaan perlu mencari kaedah untuk memberi respons segera bagi membantu penduduk kampung apabila berlaku bencana seperti banjir kilat.

"Mungkin kerajaan perlu juga meningkatkan sistem siren di perkampungan untuk memberi amaran supaya penduduk berpindah sebelum berlakunya sesuatu kejadian tidak diingini," katanya.

Bernama