27 Oktober 2013

Kebanjiran Pekerja Asing Antara Punca Peningkatan Penyakit Tibi


22 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kebanjiran pekerja asing adalah antara punca peningkatan penyakit batuk kering atau tuberkulosis (tibi) dikesan di negara ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
"Terdapat 58 kes untuk populasi 100,000 pada 1995 dan meningkat kepada 63 kes untuk populasi yang sama pada 2008 iaitu 16,000 kes setahun. Ia juga telah meningkat kepada 18,000 kes pada 2010.

"Pada 2011, sebanyak 20,000 kes telah dilaporkan berlaku dan telah menyebabkan sebanyak 1,600 kematian.
"Antara punca kenaikan adalah kerana 12 hingga 13 peratus pesakit adalah dalam kalangan pekerja asing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pemeriksaan Perubatan dan X-Ray Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) untuk Pekerja Asing di sini, Ahad.
Menurut Dr Subramaniam, terdapat 1.3 juta orang pekerja asing di negara ini pada 2008, menurun kepada 1.02 juta pada 2009, 951,943 orang pada 2010, 935,043 orang pada 2011 dan meningkat kepada kira-kira 1.3 juta tahun lepas berikutan pelaksanaan program pemutihan 6P untuk pekerja asing tanpa izin.
Subramaniam menegaskan sebarang pekerja asing yang ingin bekerja di negara ini perlu menjalani dua saringan masing-masing satu di negara asal dan satu di Malaysia.
"Walaupun ada yang sudah melepasi saringan di negara asal tetapi ada juga yang gagal lepasi saringan di sini dan kita terus hantar mereka pulang. Kita harapkan saringkan pemeriksaan di negara asal mereka dapat ditingkatkan," katanya sambil menambah pekerja asing yang gagal melepasi saringan itu adalah dari Indonesia, Nepal, Bangladesh dan Myanmar.
Dr Subramaniam berkata, ketika ini terdapat tiga hingga tujuh peratus dari1.3 juta pekerja asing yang tidak menjalani kedua-dua saringan dan dikesan menghidap pelbagai penyakit seperti Tibi, Hepatitis B, Syphilis, HIV dan leprosy.
Beliau berkata, kementerian akan mengambil tindakan pantas jika penyakit-penyakit itu contohnya Tibi dilaporkan, dengan membuat saringan menyeluruh dalam komuniti pesakit serta mengambil tindakan dalam kawasan itubagi mengelakkan penularan dan jangkitan.
Terdahulu, Dr Subramaniam berkata beliau percaya inisiatif Fomema ketika ini mampu mengurangkan kadar kehadiran penyakit dari negara luar sekaligus meningkatkan taraf dan menambah baik fasiliti dan kemudahan kesihatan di negara ini.
Fomema mula dilaksanakan pada tahun 1997 bertujuan untuk menguruskan program wajib bagi ujian saringan kesihatan bagi semua pekerja asing yang berdaftar untuk bekerja di negara ini dan memastikan semua pekerja asing ini bebas daripada penyakit berjangkit. - BERNAMA

Tiada ulasan: