27 Oktober 2013

Mahfuz: PM perlu tegur Muhyiddin agar beradab


22 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menasihati timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar lebih beradab apabila mengaitkan individu yang telah meninggal dunia.

Katanya, Muhyiddin tidak sepatutnya mengaitkan masalah kesihatan Allahyarham Tan Sri Azizan Razak, yang meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis, untuk mempertahankan langkah pengurangan subsidi gula.

Mahfuz berkata Najib perlu menggesa timbalannya itu bercakap dengan rasa hormat terhadap bekas menteri besar Kedah itu.

"Saya minta PM supaya nasihatkan TPM (supaya) patuh kepada tatasusila.

"Saya cukup kecewa kerana TPM secara khusus merujuk kepada Ustaz Azizan dalam isu ni," katanya pada sidang media di pusat operasi PAS di Sungai Limau pagi ini.

Muhyiddin dalam satu majlis di sebuah sekolah semalam mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang berkuatkuasa serta-merta selepas Belanjawan 2014 dibentangkan.

Menurutnya, ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin 
yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai Allahyarham Azizan.

Tiada ulasan: