27 Oktober 2013

Perdana Menteri Tunisia letak jawatan

22 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

TUNIS 26 Okt - Kerajaan Tunisia dan pembangkang mengadakan pertemuan, hari ini bagi membincangkan perlembagaan baru, pada hari kedua rundingan yang berlangsung dalam suasana panas untuk memulihkan krisis politik yang telah berlarutan hampir sebulan.

Pembunuhan seorang pemimpin pembangkang pada Julai lalu, Mohammed Brahmi, yang didakwa dilakukan oleh puak radikal Islam, telah mencetuskan kemarahan rakyat yang menggesa kerajaan Islam sederhana yang dipimpin Parti Ennahda meletakkan jawatan.

Semalam, Perdana Menteri, Ali Larayedh membuat pengakuan bertulis untuk meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada pembentukan Kabinet bebas diketuai Perdana Menteri baru yang akan dilantik dalam tempoh seminggu.

Mesyuarat pertama dialog kebangsaan yang tertangguh dibuka tengah hari semalam, dan kumpulan-kumpulan yang berpecah mengadakan pertemuan di luar mesyuarat sehingga awal pagi ini.

Kesatuan sekerja UGTT yang mencadangkan mesyuarat itu berkata, rundingan tertumpu kepada pelantikan satu jawatankuasa yang akan diberi tugas untuk membentuk Kabinet.

Sesi hari ini pula memberi fokus kepada pembentukan satu suruhanjaya pakar untuk meneliti cadangan perlembagaan, satu tugas yang telah tertangguh selama dua tahun dan perlu disiapkan dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, Perhimpunan Perwakilan Kebangsaan (NCA) juga dijadual bersidang selepas 60 wakil rakyat pembangkang menamatkan boikot yang mereka mulakan selepas pembunuhan Brahmi.

Presiden NCA, Mustapha Ben Jaafar juga dijadual berucap pada perhimpunan itu lewat hari ini.

Satu suruhanjaya yang ditugaskan untuk memilih calon untuk menubuhkan badan pilihan raya bebas juga dijadual mengadakan mesyuarat, hari ini.

Pelan damai untuk menamatkan krisis politik, yang diusahakan oleh UGTT, menetapkan tempoh akhir selama seminggu bagi penubuhan satu badan yang akan mengendalikan pilihan raya di Tunisia. - AFP




Tiada ulasan: