14 November 2013

Gantung Surendran: Dewan gamat, MP jerit 'usul haram'

10 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh gara-gara usul yang mahu dibawa oleh pihak kerajaan untuk menggantung N.Surendran (PKR-Padang Serai) dari persidangan dewan selama enam bulan atas tuduhan menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Kekecohan bermula sebelum usul dibentangkan oleh Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ketika mesyuarat sedang dipengerusi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pertikaian timbul terhadap penafsiran peraturan mesyuarat 44 (2) berhubung maksud tempoh dua hari penggantungan terhadap Surendran pada Selasa lalu.

Surendran ketika itu cuba untuk mengemukakan satu usul tergempar bagi membahaskan dakwaan perobohan kuil Sri Muneswarar Kaliyaman pada Selasa.

Selepas beliau enggan berundur apabila usul itu ditolak, Speaker mengusir Surendran dari tempat duduknya.

Dalam pada itu, Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) mendakwa peraturan mesyuarat itu secara jelas menyebut tempoh dua hari adalah termasuk hari hukuman dijatuhkan oleh speaker.

Pandikar bagaimanapun mendakwa, mengikut penafsirannya tempoh dua hari adalah bermula dengan merujuk waktu jam hukuman mula dijatuhkan.

Beliau kemudian menyebut, mana-mana ahli parlimen tidak bersetuju dengan penafsirannya itu maka boleh mengemukakan bantahan melalui usul.

Bagaimanapun kekecohan berterusan sejurus Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee, yang menggantikan Pandikar, menjemput menteri membacakan usul penggantungan terhadap Surendran.

Usul penggantungan itu berkait tindakan Surendran ketika mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, yang didakwa telah menyatakan bahawa Dewan sebagai tidak demokratik dan Speaker berat sebelah ekoran tindakan Speaker mengusinya keluar Selasa lalu.

Bagaimanapun Azmin yang diberi peluang membangkitkan peraturan mesyuarat mendakwa usul yang mahu dibawa adalah 'usul haram' kerana tidak dinyatakan dibawah peraturan mesyuarat yang mana.

Bagaimanapun sepeaker menolak bantahan itu dan menambah bahawa usul akam diletakkan dibawah peraturan 27 (3) dan menjemput menteri membentangkan usul tersebut.

Tidak bersetuju dengan tindakan speaker itu, kesemua ahli parlimen Pakatan Rakyat bangun membantah dan bertikam lidah dengan ahli parlimen BN sehingga dewan kecoh.

Mereka melaungkan ungkapan "usul haram" sepanjang menteri membacakan usul tersebut yang sekaligus menenggelamkan suara menteri.

Mereka juga bertindak menggumpal kertas notis usul yang diberikan kepada mereka, ada sebahagiannya melipatnya sebagai tanda protes.

Kekecohan itu turut menyebabkan speaker mengeluarkan kenyataan seperti "ini sudah seperti Zimbabwe", "kita bukan standard JKKK", tetapi tidak dihiraukan oleh kedua-dua pihak.

Dalam kekecohan itu, speaker pada mulanya membuat keputusan menerima usul tersebut untuk dibahas.

Kerana kekecohan berterusan, speker kemudian memutuskan menerima usul tersebut tanpa bahas atas alasan ahli parlimen dilihat tidak berminat untuk berbahas.

Kemudian ahli parlimen BN meminta undi belah bahagi dan dipersetujui oleh speaker.

Ketika undi belah bahagi dibuat, ahli parlimen Pakatan Rakyat bagaimanapun tidak mengundi sebagai membantah usul tersebut.

Speaker kemudian mengumumkan usul tersebut diluluskan.

Dengan kelulusan itu, N.Surendran (PKR-Padang Serai) digantung selama enam bulan daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat.

Beliau merupakan ahli parlimen pertama yang dikenakan tindakan pada penggal ini.

Pada penggal lalu, beberapa orang ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali pernah digantung enam bulan berkait isu Apco.

Tiada ulasan: