14 November 2013

Golongan Muda Hidap Diabetes Meningkat

10 Muharram 1435H. [MOD] -
Salah seorang pesakit diabetes sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
PETALING JAYA: Jumlah pesakit diabetes terus meningkat dan lebih membimbangkan statistik menunjukkan lebih ramai golongan muda di Malaysia menghidap penyakit tersebut.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) baru-baru ini menunjukkan hampir dua kali ganda mereka yang berusia 30 hingga 39 tahun menghidap penyakit ini berbanding pada 2006.
Dengan satu daripada lima golongan dewasa di Malaysia berusia 30 tahun ke atas menghidap diabetes, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, keadaan ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan kualiti kehidupan, terutamanya apabila komplikasi penyakit berlaku.
"Hakikatnya bahawa ia menjejaskan golongan muda sekali gus memberi kesan kepada produktiviti dan ekonomi, amat membimbangkan. Ia juga menjejaskan kualiti kehidupan," katanya.
Menurut kajian NHMS pada 2011, kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 4.5 juta pada 2020.
Kajian itu turut menunjukkan peningkatan pesakit diabetes dalam pelbagai peringkat usia - hampir dua kali ganda dari 4.95 (dalam kajian pada 2006) kepada 9.4% bagi mereka yang berusia antara 30 dan 34 tahun dan dari 6.4% kepada 10.9% untuk mereka yang berusia antara 35 dan 39 tahun.
Bagi mereka yang berusia 40 hingga 44 tahun, jumlah pesakit itu meningkat dari 10.3% kepada 17.6% manakala golongan berusia antara 45 dan 49 tahun - meningkat daripada 15% kepada 20.6%.
"Selain disebabkan faktor genetik, diabetes merupakan penyakit gaya hidup yang berpunca daripada tabiat pemakanan tidak sihat. Kita juga mempunyai perubahan dalam gaya hidup iaitu mengurangkan aktiviti fizikal," kata Dr Subramaniam.
Beliau berkata, kira-kira 53% rakyat Malaysia masih menjalani diagnosis.
"Ini bermakna pesakit mungkin terlambat mendapatkan rawatan dan kos untuk merawat komplikasi berkaitan penyakit diabetes akan menjadi mahal apabila mereka menerima rawatan," katanya.
Dr Subramaniam berkata, peningkatan jumlah pesakit diabetes dan lambat menjalani diagnosis akan terus memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan awam.
Beliau memetik kajian pada 2010 yang menganggarkan kos rawatan untuk pesakit diabetes membabitkan 16% daripada peruntukan penjagaan kesihatan negara atau RM2.4 bilion.
"Ini adalah suatu jumlah yang besar," katanya.
Beliau berkata, kesannya sudah dapat dilihat dengan peningkatan bilangan pesakit diabetes di klinik kesihatan dan kemasukan ke hospital akibat komplikasi penyakit tersebut.
"Ini secara tidak langsung memberi implikasi kepada kerajaan dalam terus menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti kepada rakyatnya. Ia juga akan menjejaskan produktiviti dan memberi kesan buruk kepada pembangunan ekonomi," katanya.
mstar/-

Tiada ulasan: