14 November 2013

Siling Wad NICU Hospital Serdang runtuh

10 Muharram 1435H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Beberapa kepingan siling di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Serdang yang sedang dibaiki runtuh awal pagi ini, tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan. 

Pengarah Hospital Serdang, Datuk Dr Ardi Awang, berkata runtuhan yang berlaku jam 1.30 pagi itu melibatkan kerosakan seluas kira-kira satu meter persegi. 


"Bahagian berkenaan sebelum ini telah dikosongkan untuk kerja-kerja ubah suai dan membaiki kerosakan. Memang ada tanda-tanda kerosakan kerana itu pesakit telah dialihkan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. 

Usaha Bernama untuk menjalankan tinjauan di wad berkenaan gagal selepas dihalang pengawal keselamatan. 

Sebelum ini, beberapa kejadian runtuhan siling dan bumbung pernah dilaporkan berlaku di hospital berkenaan, termasuk pada 30 Sept lepas di wad bersalin melibatkan runtuhan siling. 

Hospital yang menelan belanja RM690 juta itu mula beroperasi sejak Disember 2005 dan dibina khusus untuk menampung sekitar 570,000 penduduk Serdang, Putrajaya, Kajang dan Bangi. - BERNAMA

Tiada ulasan: