GEORGETOWN: Jambatan Pulau Pinang akan ditutup sementara selama 10 jam kepada semua kenderaan Ahad ini sempena acara Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang.
Projek Lebuhraya Usahasama Bhd (PLUS) dalam satu kenyataan berkata jambatan ditutup mulai jam 1 pagi sehingga 10 pagi dan akan beroperasi seperti biasa selepas itu.
Beberapa laluan yang menuju ke jambatan itu juga turut ditutup pada waktu yang sama bagi mengelak sebarang gangguan acara larian berkenaan.
PLUS berkata orang ramai yang perlu masuk-keluar antara kawasan pulau dan tanah besar dinasihati supaya menggunakan perkhidmatan feri yang akan beroperasi 24 jam sebagai laluan alternatif.
"Orang ramai juga dinasihati mematuhi papan tanda dan arahan yang diberikan PLUS," katanya.
Maklumat lanjut mengenai penutupan jambatan boleh didapati dengan menghubungi Plusline 1800 88 0000.
-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan