14 November 2013

Khutbah Jumaat : "Barakah Persaudaraan".

10 Muharram 1435H. [MOD] -

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ .
أَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ الله .
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ !! اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُم وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Saya berpesan kepada kepada tuan-tuan sekalian dan kepada diri saya sendiri supaya kita bertaqwa kepada Allah kerana orang-orang yang bertaqwa adalah mereka yang berjaya dan mendapat kejayaan dunia dan akhirat. 

Firman Allah swt :
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ – آل عمران : 159
Maka dengan rahmat daripada Allah, hatimu (Muhammad) menjadi lunak kepada mereka. Sekiranya kamu bersikap kasar dan keras hati dengan mereka, nescaya mereka lari daripada kamu, maka maafkanlah mereka dan minta ampunlah untuk mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka tentang urusan itu.

Sidang Jumaat sekalian,
Dalam episod Hijrah Rasulullah, baginda SAW dan para sahabatnya telah berjaya sampai ke kota Madinah. Hijrahnya baginda SAW dan para sahabatnya dengan meninggalkan kesenangan dunia tempat kelahiran mereka kerana menyahut perintah dan arahan Allah Taala. Apalah yang diharapkan oleh kaum Muslimin selain pandangan rahmat dan keampunan daripada Allah. Sanggupkah kita mengikut teladan para sahabat Rasulullah yang sanggup meninggalkan keselesaan tempat tinggal, kesenangan makan minum, keakraban sanak saudara dan segala-galanya demi mengikut arahan dan perintah Allah dan Rasul-Nya?
Setelah mendirikan Masjid Nabawi di atas tanah milik anak yatim berbangsa Yahudi yang dibeli oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Rasulullah SAW telah menyatukan hati dan mengeratkan persaudaraan di antara Muhajirin dan Ansar.
Tindakan Rasulullah menyatukan hati-hati di kalangan umat Islam adalah terbit dari fitrah semulajadi yang ditanam oleh Allah dalam diri baginda dan melaksanakan perintah dari Allah pemilik manusia dan alam ini. Rasulullah adalah seorang yang baik budi pekerti, pemaaf dan mengasihi kanak-kanak dan golongan muda belia serta menghormati orang yang lebih tua darinya.
Fathi Yakan ketika mengulas ayat di atas 159 surah Ali Imran seperti yang dibaca di awal khutbah tadi, dengan menukilkan kata-kata Abdullah bin Umar Radhiyallahu ‘Anhuma yang mengatakan :

“saya melihat sifat-sifat Rasulullah di dalam kitab-kitab suci yang terdahulu, bahawa beliau bukan seorang yang keras budi pekerti, bukan seorang yang keras hati, tidak menjerit-jerit di pasar dan membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi baginda seorang pemaaf, pengampun dengan kesalahan orang lain.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Umat Islam pada zaman Rasulullah membuktikan bahawa mereka mempunyai semangat persaudaraan yang cukup tinggi. Semangat tersebut disuntik dan dididik oleh Rasulullah SAW.  Ibn Hisyam dalam bukunya “Sirah an-Nabawiyyah” menyatakan bahawa pada tahun ke 5 Hijrah orang-orang Islam dapat menyiapkan Khandak (parit) pada masa yang ditetapkan walaupun terpaksa menghadapi berbagai-bagai kesulitan dan cabaran seperti kekurangan makanan dan minuman, ketiadaan peralatan yang sesuai dan cukup, tenaga kerja yang terbatas dan sebagainya.
Rasulullah menunjukkan contoh persaudaraan dan keakraban dengan sama-sama menggali parit tersebut, bahkan beliau sendiri memecah batu yang tidak dapat dipecahkan oleh para sahabatnya. Begitu juga tindakan golongan Ansar yang menyerahkan separuh dari harta benda mereka seperti rumah, dusun dan ladang-ladang kepada orang Muhajirin. Setengah dari mereka yang mempunyai lebih dari seorang isteri sanggup menceraikan seorang darinya untuk dikahwinkan dengan saudara Muhajirin.
          Di samping itu, Rasulullah juga telah menunjukkan contoh yang baik dalam mengeratkan hubungan persaudaraan antara muslimin. Ini terbukti dengan salah seorang sahabatnya yang bernama Julaib yang terbunuh di dalam peperangan. Rasulullah berkata : “Dia telah membunuh tujuh orang musuh lalu mereka dapat membunuhnya, dia dariku dan aku darinya. Kemudian baginda meletakkan mayat Julaib di atas kedua lengannya, tidak ada pengalas lain selain dari dua lengan baginda. Baginda sendiri menggali tanah dan meletakkan Julaib di dalam kuburnya.

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Daripada kisah-kisah yang dipaparkan di atas, saya ingin menegaskan bahawa Rasulullah cukup mengambil berat hal berkaitan persaudaraan. Antara ciri keimanan adalah mengasihi saudaranya sama seperti mengasihi dirinya sendiri. Anas bin Malik R.A pernah meriwayatkan daripada Rasulullah yang bersabda :
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ  ِلأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ  - رواه البخاري
Tidak beriman di antara kamu sehingga mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri

          Sesungguhnya, antara tanda keimanan seseorang itu ialah mengasihi saudaranya sama seperti mengasihi dirinya sendiri. Orang Mukmin saling menguatkan antara satu sama lain seperti sebuah bangunan. Tidak mungkin dan adalah mustahil kita boleh menunaikan hajat dan keperluan kita tanpa perlukan kepada bantuan daripada orang lain.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.






KHUTBAH KEDUA
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أجمعين .  
أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.  قاَلَ الله تَعاَلَى : وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.

Sidang Jumaat sekalian,
Daripada khutbah pertama tadi, dapat ditegaskan bahawa persaudaraan merupakan perkara utama dan amat penting dalam agama Islam. Dengan bersaudara dan bersatu padu umat Islam akan menjadi lebih kuat dan menimbulkan kegerunan pada musuh-musuh Islam. Sebaliknya, perpecahan akan mengakibatkan sesuatu bangsa atau negara hancur dan musnah. Ibnu Umar meriwayatkan dalam Sunan At-Tarmizi bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda :
عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ

Ke atas kamu semua dengan berjamaah (satu kumpulan) dan elakkan dari berpecah sesungguhnya Syaitan bersama dengan yang berseorangan

Antara kaedah yang digariskan oleh Islam untuk mengeratkan persaudaraan adalah :
1.    Keluarga boleh memainkan peranan penting dalam memupuk persaudaraan di kalangan ummah. Hal ini kerana ibu bapa boleh mendidik anak-anak agar berbaik-baik dengan setiap anggota masyarakat dalam setiap lapisan.  Ibu bapa mesti menjadi contoh yang baik kepada anak-anaknya dengan mengamalkan nilai hormat-menghormati terhadap sanak saudara,  jiran tetangga dan sebagainya. Ketika cuti umum atau waktu lapang, ibu bapa boleh membawa anak-anak menziarahi sanak saudara, rakan taulan, jiran tetangga dan sebagainya.
2.    Selain itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan untuk memupuk persaudaraan. Contohnya, masyarakat hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Antara nilai-nilai murni yang perlu diamalkan adalah sikap bekerjasama dan bertolak ansur.

Bersatulah kita dalam perkara-perkara yang kita telah sepakati, dan elakkan pertelingkahan dan pergaduhan dalam perkara-perkara kecil dan sia-sia, Insya Allah kita akan dibimbing oleh Allah Taala ke arah kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف
عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Disediakan oleh,

Mohd Hafiz bin Sulaiman
Imam Besar,
Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh


*AMARAN!!! Pihak JAIPk tidak bertanggungjawab ke atas sebarang penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan.

Tiada ulasan: