03 Disember 2013

76 lagi pengawal keselamatan warga asing ditahan

29 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:  Polis menahan seramai 76 pengawal keselamatan asing yang didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di empat daerah iaitu Sentul, Brickfields, Dang Wangi dan Cheras semalam.

   
Operasi bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang itu dianggotai seramai 115 pegawai dan anggota dari kesemua jabatan di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL) dan lapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

   
Kesemua pengawal keselamatan itu yang masih lengkap beruniform, berumur antara 28 dan 45 tahun, telah dibawa ke IPPKL untuk siasatan lanjut.

 Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kesemua mereka terdiri daripada 34 warga Nepal, 20 (Pakistan), 11 (India), enam (Indonesia), masing-masing dua (Sri Langka dan Bangladesh) dan seorang Filipina ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah, permit tamat tempoh, melanggar syarat permit kerja serta memiliki kad pengenalan orang lain.
   
"Operasi hari ini tertumpu kepada tujuh lokasi pemeriksaan iaitu di kawasan perumahan, kondominium, apartmen, pasaraya, hotel, tapak projek dan tempat meletak kereta di empat daerah itu kerana kami percaya ramai mereka bekerja di situ.
   
"Pemeriksaan dari semasa ke semasa akan terus dilakukan bagi membendung insiden tidak diingini membabitkan golongan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu di Serdang, seramai 57 orang daripada 62 tangkapan yang dibuat melalui Ops Bersepadu Cegah Jenayah (Ops Poket) dalam tempoh 10 hari lepas, merupakan warga asing yang terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah.
               
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abdul Razak Elias berkata dalam operasi yang bermula 21 Nov lepas itu, warganegara Nigeria menjadi penyumbang terbesar dengan seramai 25 lelaki dan lapan wanita ditahan.
               
"Dalam operasi melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, tangkapan turut melibatkan warga asing Indonesia seraamai 10 lelaki dan 7 wanita, Thailand seorang wanita, Vietnam dua wanita, Myanmar empat lelaki manakala warga tempatan lima orang lelaki.
               
"Kebanyakan warga asing yang ditangkap sebahagian besarnya menjalankan aktiviti mengedar dadah, melakukan maksiat serta mengganggu ketenteraman awam di sekitar kediaman mereka," katanya kepada pemberita kepada selepas majlis perhimpunan khas IPD Serdang.
                 
Dalam operasi itu, polis membuat rampasan dadah jenis syabu berjumlah RM12,000 seberat 73.5 gram di IOI Mall, Puchong pada Sabtu lepas yang melibatkan tiga warga Nigeria. 

- Bernama

Tiada ulasan: