KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) meminta kerajaan segera membentangkan pelan strategi konstruktif bagi memastikan keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak.
Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga beradik yang mati dibunuh di Alor Setar Kedah Sabtu lalu, ahli jawatankuasa DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, pelan strategik ini merupakan peranan holistik yang sepatutnya digerakkan oleh kerajaan secara terarah.
"DMPP sangat berdukacita dengan peristiwa malang yang menimpa golongan kanak-kanak ini dan kanak-kanak sebaya mereka sepatutnya dilindungi dan berada dalam perhatian keselamatan yang tinggi daripada semua pihak lebih-lebih lagi dengan menularnya pelbagai kes jenayah yang semakin tidak dapat dikawal.
"Kita tidak mahu hanya respons reaktif yang berbau jawapan politik tetapi kita mahu tahu pelan strategi yang Konstruktif dalam memastikan keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi.
"Kita tidak boleh biarkan apa jua ruang terbuka untuk sebarang tindakan yang mengancam keselamatan dua kelompok penting masyarakat ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Tiga beradik perempuan berusia tiga, 12 dan 14 tahun berasal dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar Kedah dipercayai mati dibunuh.
Mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong pukul 3.45 petang Sabtu selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dan Nur Izzati Husna,12, kira-kira pukul 7.30 malam Jumaat lalu.
Mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang Ahad di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar iaitu kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.
Aiman berkata, amat mendukacitakan lagi apabila remaja seusia Shafikah terpaksa berhenti sekolah dan bekerja akibat tekanan dan kemisikinan hidup.
Katanya,ini bukan kes terpencil dan tidak sepatutnya berlaku dalam negara kita yang sering melaung-laungkan kemakmuran dan keamanan negara.
"Tidak sewajarnya masih wujud kemiskinan yang membawa kepada peristiwa-perustiwa tragis sebegini. Ia suatu yang sangat malang dan membangkitkn kemarahan rakyat.
"Jelas terlalu banyak kepincangan berlaku dalam segala usaha memastikan pelaksanaan apa jua dasar dan program kerajaan yang kononnya mesra kanak-kanak. Bagaimana boleh seorang kanak-kanak Malaysia tercicir daripada sistem pelajaran dan kemudiannya bekerja?" soalnya.
Beliau juga mempersoal peruntukan untuk Permata yang mencecah jutaan ringgit namun hak kanak-kanak miskin di negara ini tidak terbela.
"Di kala peruntukan untuk permata mencecah jutaan ringgit, maka apakah hak gol kanak-kanak miskin ini di mata pemimpin-pemimpin politik negara khususnya kerajaan?
"Tidakkah tragedi ini singgah di hati Datin Seri Rosmah Mansor yang selalu mendondangkan skrip lagu untuk rakyat bersyukur?
"Pemimpin Melayu Umno wajar malu dan insaflah. Ini maruah kanak-kanak perempuan berbangsa Melayu, yang berterusan berhadapan dengan pelbagai ancaman lazimnya daripada bangsa Melayu itu juga. Hilang ke mana hati budi bangsa ini walau 50 tahun Umno kekal menunjangi kuasa?" soalnya.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan