03 December 2013

Banjir: 1,035 penduduk Mersing dipindah

29 Muharram 1435H. [MOD] -
JOHOR BAHARU:  Bilangan penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Mersing semakin meningkat apabila sejumlah 1,035 orang membabitkan 306 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan malam tadi.

               
Ketua Polis Daerah Mersing DSP Zulkifli Hashim berkata setakat pukul 10 malam, kesemua mangsa yang terjejas melibatkan penduduk di 16 kawasan iaitu Kampung Air Tawar, Kampung Lubuk, Felcra Sri Mahkota Endau, Semaloi dan Kampung Bukit Pasir.

               
Turut terjejas Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Orang Asli Labung, Kampung Peta, Kampung Air Merah, Kampung Wak Salam, Jalan Sekakap, Kampung Che Wok, Kampung Sawah Datuk, Kampung Makam dan Kampung Paya Tunggal, katanya ketika dihubungi.
               
Zulkifli berkata hujan masih renyai-renyai di sekitar Mersing dan keadaan air pasang pada pukul 9.30 malam menyebabkan paras air meningkat setinggi 3.3 meter.
               
Beliau berkata laluan di KM7 Jalan Nitar-Mersing, KM32 dan KM35 Jalan Mersing-Kota Tinggi kini hanya boleh dilalui kenderaan berat.
              
Katanya bilik gerakan banjir daerah itu sedang memantau perkembangan banjir setiap masa manakala pasukan penyelamat yang melibatkan pelbagai agensi sedang giat memindahkan penduduk ke kawasan selamat. 

- Bernama

No comments: