03 Disember 2013

Suspek Kes Rompakan Di Brickfields Guna Kad Pengenalan Individu Lain

29 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian rompakan di sebuah rumah di Jalan Persiaran Syed Putra, Brickfields pada Ahad didapati menggunakan kad pengenalan orang lain.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata siasatan mendapati kad pengenalan itu diperoleh dalam satu kejadian rompakan di Kelana Jaya kira-kira pukul 2.40 pagi semalam sebelum suspek merompak rumah di Brickfields itu bersama dua rakannya.

"Setakat ini kita belum dapat mengenal pasti siapa yang mati itu kerana suspek yang berusia 20-an itu meletakkan dokumen terbabit di dalam dompetnya.
"Bagaimanapun kita akan menyemak identitinya dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam waktu terdekat ini," katanya kepada media sebelum melancarkan operasi ke atas pengawal keselamatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini Isnin.
Rompakan di Brickfields itu berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi di kediaman seorang pengurus syarikat.
Seorang daripada tiga suspek itu dilapor turut mengacu pistol kepada mangsa yang berusia 30 tahun itu ketika mereka membawanya keluar dari rumah itu bagi membuka pagar automatik untuk melarikan diri.
Namun pada masa yang para penjenayah itu menyedari kehadiran polis di situ dan terus melepaskan tembakan kepada polis.
Polis terpaksa membalas tembakan sebelum dua daripada penjenayah itu rebah manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri dengan sejumlah wang tunai dan barang kemas milik keluarga pengurus itu.
Seorang penjenayah yang berusia sekitar 20-an itu meninggal dunia akibat terkena tembakan di kepala manakala rakannya yang berusia 33 tahun cedera di dada.
Khairi berkata suspek yang kritikal itu dilapor sudah stabil dan keterangan akan diambil daripadanya.
Beliau berkata kereta BMW yang digunakan dalam kejadian itu dipercayai merupakan milik mangsa rompakan di Kelana Jaya.
Sementara itu beliau berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan kebakaran stor tempat menyimpan barangan rampasan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Laman Rimbunan, Kepong pada Ahad disebabkan perbuatan khianat. 

- BERNAMA

Tiada ulasan: