KUALA LUMPUR: Polis menahan seramai 76 pengawal keselamatan asing yang didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di empat daerah iaitu Sentul, Brickfields, Dang Wangi dan Cheras pada Isnin.
Operasi bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang itu dianggotai seramai 115 pegawai dan anggota dari kesemua jabatan di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL) dan lapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kesemua pengawal keselamatan itu yang masih lengkap beruniform, berumur antara 28 dan 45 tahun, telah dibawa ke IPPKL untuk siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kesemua mereka terdiri daripada 34 warga Nepal, 20 (Pakistan), 11 (India), enam (Indonesia), masing-masing dua (Sri Langka dan Bangladesh) dan seorang Filipina ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah, permit tamat tempoh, melanggar syarat permit kerja serta memiliki kad pengenalan orang lain.
"Operasi hari ini tertumpu kepada tujuh lokasi pemeriksaan iaitu di kawasan perumahan, kondominium, apartmen, pasaraya, hotel, tapak projek dan tempat meletak kereta di empat daerah itu kerana kami percaya ramai mereka bekerja di situ.
"Pemeriksaan dari semasa ke semasa akan terus dilakukan bagi membendung insiden tidak diingini membabitkan golongan ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan