BACHOK – Polis menjangkakan sebanyak 50,000 kenderaan akan masuk ke Kelantan pada hujung minggu ini selepas kebenaran merentas negeri diberikan kepada penerima vaksin Covid-19.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ia menunjukkan peningkatan mendadak apabila hanya 11,000 buah kenderaan masuk ke negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini.
Menurutnya, peningkatan itu dijangka berlaku apabila perantau anak Kelantan atau pelancong domestik masuk ke negeri ini pada hujung minggu.
“Dalam tempoh dua hari kebenaran rentas negeri, masih belum banyak kenderaan masuk ke Kelantan mungkin kerana pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) ini dilakukan pada hari bekerja.
“Semua perantau dan pelancong yang masuk ke Kelantan dinasihatkan agar terus mematuhi SOP bagi mengelakkan jangkitan Covid- 19 terus menular,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Bersama Masyarakat di Pasar Besar Siti Aishah, Jelawat di sini hari ini. -K!ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan